Wednesday, August 27, 2014

Larangan Ke Luar Negara Hanya Untuk Mereka Yang Sengaja Tidak Bayar Cukai - Chua


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong hari ini menyangkal laporan media tempatan bahawa pengelak cukai, walau serendah RM200, dihalang daripada ke luar negara.


Beliau menjelaskan larangan ke luar negara itu hanya kepada mereka yang sengaja mengabaikan tanggungjawab mereka.

"Ini sebahagian daripada proses Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan semula cukai. Jangan panik.

"Larangan hanya terpakai kepada mereka yang mempunyai tunggakan untuk tempoh yang lama. Mereka ini tidak tampil berbincang dengan LHDN berhubung skim pembayaran serta mengabaikan notis," katanya.

Chua berkata mereka yang disenarai hitam akan menerima notis sama yang dihantar kepada LHDN, polis dan imigresen.

Pengelak cukai yang ditahan oleh imigresen di lapangan terbang mesti  menjelaskan semua cukai tertunggak jika mahu meneruskan perjalanan.

Chua berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Cukai Barang dan Perkhidmatan yang dianjur oleh firma perakaunan UHY, di sini.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 97,000 pembayar cukai gagal melunaskan cukai berjumlah RM2.88 bilion kepada LHDN.

Orang ramai boleh mengakses nama mereka yang disenarai hitam menerusi sspi2.imi.gov.my.