Tuesday, January 27, 2015

Bisnes Jual Beli Saham



SOALAN: 

Salam En Radzi,

Saya budak baru belajar. Skrg ni saya involve dengan stock exchange. Saye nak kemukakan beberapa soalan dan mintak pandangan en radzi mengenai pendaftaran syarikat. 

 1) Saya plan untuk daftar SSM sebagai enterprise. Tp xde idea n x tahu nak letak nama yg sesuai, dan juga di dalam bidang perniagaan atau business nature, since saye bleh dikatakan hampir 100% jual beli saham sahaja. 

 2) Daripada segi tax pulak mcm mana? Saya ada baca kat blog en radzi company enterprise dia akan kira cukai individu. Maksudnye mcm mana tu? Untuk makluman saya mmg xpernah bekerja n sebelum2 ni byk kerja sendiri sahaja. 

 3) Apa pendapat en radzi sekiranya saya bukak company enterprise tu, dan at d same time saya declare gaji saya, cth : rm5000 sebagai director dan di situ saye tolak epf dari 5k tu. So mcm mana? Adakah tindakan saya tu wajar ataupun xperlu buat mcm tu?

4) Merujuk soalan ke 3, mcm mana pula dari segi cukai? Adakah saya perlu declare cukai gaji saya dan juga company? Agak2 kalau kena cukai tu berapa? Ini kerana kebanyakan bank bila nk buat loan kereta or rumah lg kerja sendiri diorg ckp bila byr income tax sng nk buat loan. 

 5) Bagaimana untuk mengurangkan cukai bagi company n jugak individu? Dan apa kebaikan kalau saya upah consultant untuk kira cukai saya? Dan en radzi ada x mana2 consultant untuk pengiraan cukai yg bleh saya hire dan cas nye mcm mana? 

 Setakat ini sahaja soalan saya. Mintak maaf byk2 kalau byk sgt soalan. Mntak tunjuk ajar dari sifu mcm en radzi. Terima kasih.

JAWAPAN:

Wasalam Tuan.

1) Saya plan untuk daftar SSM sebagai enterprise. Tp xde idea n x tahu nak letak nama yg sesuai, dan juga di dalam bidang perniagaan atau business nature, since saye bleh dikatakan hampir 100% jual beli saham sahaja.

- Untuk mendaftar Enterprise, Tuan boleh menggunakan nama Tuan sendiri atau menggunakan nama selain nama sendiri. Sekiranya Tuan menggunakan nama sendiri caj RM30.00 dikenakan ketika pendaftaran di SSM tetapi caj berlainan dikenakan sekiranya Tuan menggunakan selain nama sendiri.

-  Bagi bidang perniagaan pula, Tuan boleh mendaftar bidang apa-apa sahaja tetapi salah satu mestilah ada perkaitan dengan jual beli saham.

 2) Daripada segi tax pulak mcm mana? Saya ada baca kat blog en radzi company enterprise dia akan kira cukai individu. Maksudnye mcm mana tu? Untuk makluman saya mmg xpernah bekerja n sebelum2 ni byk kerja sendiri sahaja. 

-  Setiap enterprise memang dikenakan cukai dan keuntungan dari perniagaan enterprise itu dikira sebagai cukai individu tidak kira Tuan bekerja makan gaji atau bekerja sendiri.

-  Sekiranya Tuan bekerja makan gaji tetapi tidak ada perniagaan, Tuan perlulah menghantar Borang BE dan tarikh terakhir penghantaran Borang tersebut ialah 30 April tahun berikutnya.

 -  Sekiranya Tuan bekerja makan gaji tetapi ada perniagaan, Tuan perlulah menghantar Borang B dan tarikh terakhir penghantaran Borang tersebut ialah 30 Jun tahun berikutnya.

3) Apa pendapat en radzi sekiranya saya bukak company enterprise tu, dan at d same time saya declare gaji saya, cth : rm5000 sebagai director dan di situ saye tolak epf dari 5k tu. So mcm mana? Adakah tindakan saya tu wajar ataupun xperlu buat mcm tu?

-  Seperti yang saya terangkan di atas, pihak Tuan perlu mengisi Borang B. Jika Tuan mengambil gaji tetapi perniagaan Tuan rugi, cukai tetap dikira atas gaji yang diambil kerana gaji yang diambil akan ditambah balik.

4) Merujuk soalan ke 3, mcm mana pula dari segi cukai? Adakah saya perlu declare cukai gaji saya dan juga company? Agak2 kalau kena cukai tu berapa? Ini kerana kebanyakan bank bila nk buat loan kereta or rumah lg kerja sendiri diorg ckp bila byr income tax sng nk buat loan. 

-  Untuk makluman Tuan, setiap Individu hanya perlu menghantar satu borang cukai sahaja ke LHDN. Jadi di dalam situasi Tuan, Tuan perlu menghantar Borang B dan cukai yang dikenakan bergantung kepada Pendapatan Bercukai.

Keuntungan/kerugian bersih dari Perniagaan akan dilaraskan semula dengan menambah perbelanjaan tidak dibenarkan seperti susut nilai aset untuk menghasilkan Pendapatan larasan. Pendapatan larasan akan ditolak dengan elaun modal bagi menghasilkan pendapatan berkanun.

Pendapatan bercukai akan dikira daripada pendapatan berkanun Perniagaan ditambah dengan gaji yang diterima.

 5) Bagaimana untuk mengurangkan cukai bagi company n jugak individu? Dan apa kebaikan kalau saya upah consultant untuk kira cukai saya? Dan en radzi ada x mana2 consultant untuk pengiraan cukai yg bleh saya hire dan cas nye mcm mana? 

- Cukai yang dibayar oleh Syarikat dan Individu bergantung kepada keuntungan yang diperolehi pada tahun itu.

-  Untuk pengetahuan Tuan, pihak kami ada menyediakan pengiraan cukai bagi Syarikat dan juga Individu. Kadar yang dikenakan bergantung kepada kerja-kerja yang perlu diselesaikan seperti menyediakan akaun, membuat pengiraan cukai dan menghantar Borang cukai kepada LHDN.

Harap ini membantu.

Monday, January 26, 2015

Pendaftaran Cukai dan Jenisnya.

SOALAN


Assalamualaikum


Saya ada sedikit kekeliruan tentang cukai yang perlu saya daftar dengan LHDN. saya ada sebuah website mengajar dan telah mendaftar dengan SSM. Pegawai yang ada disitu mengatakan cukai hanya perlu didaftar dengan LHDN dan dibayar jika perniagaan itu mempunyai pendapatan melebihi rm2000-rm3000. Memandangkan pada masa itu website saya tidak mendatangkan apa2 hasil pendapatan langsung, saya tidak mendaftar dengan LHDN. Tetapi, selepas dua tahun, (2015) saya berhasrat untuk membuat jualan menggunakan website saya dan bercadang untuk membuat bank account untuk perniagaan saya.

1. Adakah saya perlu mendaftar dengan LHDN sebelum atau selepas saya mendapat hasil perniagaan?

2. Apakah jenis cukai yang perlu saya buat?



Sekian

JAWAPAN


Assalamualaikum Tuan,


Terima kasih atas soalan yang diberikan.

1. Untuk makluman pihak Tuan, tiada masalah sekiranya pendaftaran dilakukan selepas mendapat hasil perniagaan selagi ia tidak melepasi tarikh akhir bagi penghantaran borang cukai ke LHDN. Sekiranya perniagaan Tuan merupakan perniagaan jenis Milikan Tunggal, maka Tuan perlulah menghantar Borang B (Borang Untuk Individu Bermastautin Yang Mempunyai Punca Pendapatan Perniagaan). Tarikh akhir penghantaran borang ini ke LHDN ialah pada 30 Jun.

Setiap Individu yang menjalankan Perniagaan adalah dinasihatkan untuk menyediakan akaun perniagaan bagi mendapatkan Penyata Untung Rugi dan Kunci Kira-Kira. Semua maklumat ini akan diisi ke dalam borang cukai dan maklumat yang diisi mestilah tepat kerana sekiranya pihak LHDN mendapati terdapat kesalahan dalam mengisytiharkan maklumat, maka pihak Tuan akan dikenakan penalti.

Contoh dilampiran 1 adalah proses yang perlu dilalui bagi mendapatkan maklumat yang tepat untuk Borang B. Sekiranya perlu, pihak Tuan boleh mendapatkan nasihat daripada mereka yang lebih arif seperti Akauntan, dalam perkara-perkara berkaitan Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira Perniagaan Tuan.

2. Untuk makluman pihak Tuan, bagi Individu yang menjalankan perniagaan, jenis cukai yang dibayar ialah cukai pendapatan kerana pendapatan yang diisytiharkan akan jatuh keatas Individu. Borang cukai yang perlu dihantar adalah Borang B iaitu sebelum atau pada 30 Jun tahun berikutnya.

Harap penjelasan kami ini dapat membantu merungkaikan kekeliruan Tuan.

Sekian, terima kasih



Tuesday, January 20, 2015

Perniagaan Tunggal

PERNIAGAAN TUNGGAL (ENTERPRISE)



SOALAN :
Assalamualaikum..

1. kedai saya telah ditengelam banjir. abis semua fail-fail lama tengelam dan memang tak dapat diselamatkan. harus buat report dengan LHDN tak?

saya guna excel saja untuk buat akaun. dalam komputer masih ada copy. cuma bab dokumen memang abis.

2. perbelanjaan kereta.

2a. saya telah membeli kereta baru pada tahun 2010. oleh kerana pada tahun 2010 saya tak berapa untung, jadi saya tangguh elaun modal ke tahun 2011. bolehkan cara sebegini?

2b. oleh kerana perniagaan yg sangat slow pada tahun 2011, nak ambil elaun modal, akan menjadikan perniagaan saya rugi. jadi, boleh tangguh lagi atau macamana?

2c. perbelanjaan berkaitan kenderaan ialah petrol (rm300 sebulan) dan servis (lebih kurang rm500 setiap 3 bulan) dikira dalam perbelanjaan perniagaan (bawah pengangkutan kalau tak silap). boleh ke perbelanjaan ni dikira tapi elaun modalnya belum diambil?

2d. boleh atau tidak digunakan kaedah rental? hanya amaun yg kita bayar ke bank sahaja dikira sebagai perbelanjaan? (dan mengabaikan terus tentang elaun modal.)

2e. perlukah satu kertas untuk istihar kenapa belanja petrol perniagaan RM300 sebulan? saya ada catat kenapa rm300 sebulan (marketing, hantar barang, product briefing dll berkaitan perniagaan). tiada sokongan resit2 untuk petrol.

3. untuk makluman saya membayar cukai (minima, untuk tujuan pengesahan pinjaman) dan zakat.
3a. katakan jumlah cukai dikenakan ialah rm1500. disebabkan saya dah bayar zakat rm1500, saya tak perlu bayar cukai. tapi sebab saya nak slip bayar cukai (tujuan pinjaman), saya cuma letak zakat rm1400, saya bayar cukai rm100. bolehkah kaedah ini?

3b. saya berniaga di negeri Johor (MAIJ) tapi ingin membayar zakat di negeri Perlis (MAIPS). dibenarkan tak oleh LHDN?

terima kasih. semoga ilmu semua diberkati Allah.

JAWAPAN :
Wslm,

... saya cuba membantu ...

Quote:
1. kedai saya telah ditengelam banjir. abis semua fail-fail lama tengelam dan memang tak dapat diselamatkan. harus buat report dengan LHDN tak? saya guna excel saja untuk buat akaun. dalam komputer masih ada copy. cuma bab dokumen memang abis.>

Tak perlu Tuan report ke LHDN. Cuma mungkin akan menimbulkan masalah dari pihak Tuan ... sekiranya pihak LHDN meminta atau ingin memeriksa dokumen yg berkaitan di kemudian hari.



2. perbelanjaan kereta.


2a. saya telah membeli kereta baru pada tahun 2010. oleh kerana pada tahun 2010 saya tak berapa untung, jadi saya tangguh elaun modal ke tahun 2011. bolehkan cara sebegini?
2b. oleh kerana perniagaan yg sangat slow pada tahun 2011, nak ambil elaun modal, akan menjadikan perniagaan saya rugi. jadi, boleh tangguh lagi atau macamana?

Penangguhan Elaun Modal ... tak boleh Tuan. Ianya akan tetap digunakan setiap tahun .. walaupun Perniagaan tersebut Untung atau Rugi.

Elaun Modal adalah merupakan satu potongan tahunan yang dibenarkan ke atas Aset Perniagaan dalam maksud pengiraan cukai yang diberikan kepada sesebuah perniagaan. Elaun ini diberi sebagai potongan daripada Pendapatan Larasan Perniagaan (Adjusted Business Income).

Dalam erti kata lain, didalam terma perakaunan terdapat perbelanjaan dinamakan SUSUTNILAI. Namun begitu di dalam PERCUKAIAN, perbelanjaan SUSUTNILAI ini tidak dibenarkan (Unallowable) tapi sebaliknya akan digantikan dengan terma ELAUN MODAL (CAPITAL ALLOWANCE). ELAUN MODAL ini dikira berbeza sedikit berbanding cara kita mengira SUSUTNILAI. Malah terdapat beberapa jenis assets atau harta yang tidak mendapat ELAUN MODAL seperti Ubahsuai Bangunan (Renovation), Bangunan (Building) dan sebagainya.

Perniagaan akan rugi ... Sebenarnya Elaun Modal ini hanya wujud didalam pengiraan cukai perniagan Tuan. Ianya tidak wujud dalam Penyata Kewangan perniagaan (Akaun) Tuan.

Ambil Elaun Modal ... Pekara Elaun Modal ini adalah tetap .... maksudnya ianya akan tetap dikira dalam Pengiraan Cukai ... walaupun rugi atau untung. Sekiranya perniagaan Tuan mengalami kerugian ... maka elaun modal tersebut akan dibawa kehadapan tahun hadapan dan ini dinamakan Elaun Modal Terkumpul.

Didalam perniagaan biasa terdapat 2 pekara yg boleh dibawa ke tahun-tahun hadapan :

1. Elaun Modal Terkumpul
2. Kerugian Terkumpul

Kedua2 ini adalah pekara yg besar dan bernilai. Malah ada yg menggunakan ianya sebagai satu alat untuk mengurang cukai. Oleh yg demikian pandangan umum bahawa Syarikat yg rugi tidak mempunyai nilai... fikirkan kembali ...


2c. perbelanjaan berkaitan kenderaan ialah petrol (rm300 sebulan) dan servis (lebih kurang rm500 setiap 3 bulan) dikira dalam perbelanjaan perniagaan (bawah pengangkutan kalau tak silap). boleh ke perbelanjaan ni dikira tapi elaun modalnya belum diambil?

Secara amnya ... sebarang perbelanjaan (Perbelanjaan yg sebenar) yang berkaitan dengan dalam penghasilan Pendapatan ... maka perbelanjaan tersebut dibenarkan (Dalam konteks Percukaian).


2d. boleh atau tidak digunakan kaedah rental? hanya amaun yg kita bayar ke bank sahaja dikira sebagai perbelanjaan? (dan mengabaikan terus tentang elaun modal.)

Konsep Rental ... kalau konsep ini digunakan maka perbelanjaan ini akan dilaraskan semula oleh pihak LHDN. Ini adalah kerana "Rental" yg dibayar adalah kepunyaan Pemilik perniagaan. Maka ianya adalah merupakan satu Ambilan dan bukan kos perniagaan kepada Pemilik. Oleh yg demikian, pada peringkat awal ... ianya merupakan satu kos (perbelanjaan) ... dan apabila ianya dilaraskan ianya akan merupakan satu Ambilan (Bagi Perniagaan Milikan Tunggal). ... so berhati2


2e. perlukah satu kertas untuk istihar kenapa belanja petrol perniagaan RM300 sebulan? saya ada catat kenapa rm300 sebulan (marketing, hantar barang, product briefing dll berkaitan perniagaan). tiada sokongan resit2 untuk petrol.

Berdasarkan kepada penerangan Tuan ... ianya merupakan satu ELAUN. Maka ianya merupakan pendapatan Tuan .... atau dalam bahasa Perniagaan Tunggal ... ianya merupakan satu Ambilan dan bukanya KOS perniagaan Tuan.

Yang sebaiknya adalah melampirkan resit2 dan invoices ... konsep "one to one basis". Setiap perbelanjaan dinyatakan di atas tadi perlukan dokumen sokongan.

Marketing ... tiada kos yg dinamakan Marketing. Marketing ini adalah merupakan perbuatan atau kerja .. dan bukannya Kos.

Hantar Barang ... Kos yg nyata adalah Duit Minyak (Resit), Duit Lori (Invoice), Duit Tol (Resit), Duit Driver (Upah - Nama dan Kerja Dibuat),Duit Parking (Resit) dsb. Oleh yg demikian ... perlukan detail yg lengkap terhadap pekara "Hantar Barang". Dan kalau setakat hantar barang sahaja ... kemungkinan kos ini akan dihadkan (Dibenarkan separuh atau sebagainya oleh pihak LHDN).

Produk Briefing ... adalah satu sifat kerja .. dan bukannya kos. Melainkan Tuan mengupah orang lain. Tak logik kalau ... Perniagaan Tuan membayar kepada Tuan atas produk briefing yg sendiri Tuan lakukan.

General Expenses ... ramai yg membuat dan meletakkan pekara (item) ini dalam Penyata Kewangan mereka yg merupakan satu kos perniagaan. Pada hakikatnya ... apakan itu General Expenses (Perbelanjaan Am)? ... kerana setiap perbelanjaan mempunyai nama dan sifatnya. Kebiasaanya pihak LHDN akan tidak membenarkan perbelanjaan ini. (Unallowable Expenses). Kita perlu berhati2 bagi mengelakkan dicukai atas kesilapan diri sendiri.


3. Untuk makluman saya membayar cukai (minima, untuk tujuan pengesahan pinjaman) dan zakat.

3a. katakan jumlah cukai dikenakan ialah rm1500. disebabkan saya dah bayar zakat rm1500, saya tak perlu bayar cukai. tapi sebab saya nak slip bayar cukai (tujuan pinjaman), saya cuma letak zakat rm1400, saya bayar cukai rm100. bolehkah kaedah ini?

Hehehehhehe ... tak pernah orang buat begini . Pada kebiasaanya pihak yg memberi pinjaman (Bank etc) ingin melihatkan akan Penyata Cukai atau Borang Cukai yg telah diserahkan kepada LHDN. Sekiranya terdapat Cukai dibayar ... mereka memerlukan akan dokumen sokongan terhadapnya. Mereka akan menilai sendiri akan pinjaman tersebut.

Pandangan ... Tuan tak perlu membuat cara yg demikan ... kerana akan menambah rumit pekara cukai Tuan nanti .. apatah lagi apabila pihak LHDN membuat audit atas perniagaan Tuan.


3b. saya berniaga di negeri Johor (MAIJ) tapi ingin membayar zakat di negeri Perlis (MAIPS). dibenarkan tak oleh LHDN?

Dari sudut LHDN ... tiada masalah .... Dari segi agama ... yg afdal adalah ditempat Tuan berniaga.


terima kasih. semoga ilmu semua diberkati Allah.
Insyallah .... Amin

Tuesday, January 13, 2015

Mahu Daftar Sendirian Berhad


From: xxxxxx
Subject: Mahu Daftar Sendirian Berhad
SOALAN

Salam encik...saya telah daftar Enterprise awal tahun 2014 ni,Saya ada terbaca ttg kelebihan Sdn Bhd daripada Enterprise. Berapakah pendapatan minima bulanan utk daftar Sdn Bhd?Sekiranya purata bulanan pendapatan utk tahun pertama Enterprise 10k-20k adakah layak utk memohon daftar Sdn Bhd?Sekiranya layak,berapa peruntukan caj keseluruhan sehingga siap daftar Sdn Bhd utk 2 Ahli Lembaga Pengarah sekiranya menggunakan khidmat Radzi.Co?Perniagaan lebih kepada pembekal...(perkilangan).

JAWAPAN

Salam Puan, Terima kasih atas soalan yang diberikan. Untuk makluman pihak Puan, tiada sebarang pendapatan minima yang perlu dipenuhi untuk menubuhkan sebuah Syarikat Sdn. Bhd. Bagi menubuhkan Syarikat, berikut merupakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi : 

Mengikut Seksyen 122(1)

i. Setiap Syarikat mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) orang Pengarah dan dua (2) Pemegang Saham, dimana setiap seorang itu mempunyai tempat bermastautin di Malaysia atau hanya di dalam Malaysia dan berumur 18 tahun keatas. 

ii. Warganegara luar juga boleh menjadi Pengarah Syarikat sekiranya Syarikat mematuhi Seksyen 122(1). 

Dimana syarat-syarat kelayakan seorang Pengarah ialah
1.Berumur 18 tahun keatas 
2.Tidak disabitkan atau dipenjarakan didalam atau diluar Malaysia diatas sebarang kesalahan. 
3.Bukan merupakan seseorang bankrap yang tidak mendapat pelepasan daripada mahkamah.

Di sini pihak kami akan menyenaraikan tanggungjawab entiti dari sudut:





Pihak kami menawarkan pakej bagi penubuhan Syarikat bermula dari harga RM2,200 dan keatas dimana terdapat 4 pakej yang disediakan. Puan boleh melayari laman web kami www.rundingsyarikat.com untuk maklumat lanjut.

Diharap jawapan ini dapat sedikit sebanyak membantu permasalahan Puan.

Terima kasih.