Thursday, July 23, 2015

LHDN Terima 3.1 Juta Borang e-Filing



KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima 3.1 juta borang nyata cukai pendapatan e-Filing setakat bulan Mei tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, LHDN menjangkakan peningkatan kepada empat juta orang ramai memasuki e-Filing sehingga akhir tahun ini. Angka itu merupakan pertambahan lebih daripada 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, katanya dalam sidang media Kempen Cinta Malaysia di sini, Selasa.

"Peningkatan adalah antara 15 ke 20 peratus dan trend peningkatan berlaku pada setiap tahun menunjukkan bahawa pembayar-pembayar cukai terutamanya golongan generasi Y yang celik komputer memilih penggunaan 'e-services' iaitu e-filing sebagai pilihan utama. "Jumlah borang yang dihantar setakat ini adalah 3.1 juta. Untuk setengah tahun ini kita telah dapat sebahagian besar daripada borang itu dan kita akan terima hingga hujung tahun ini mengikut kategori pembayar cukai," katanya.

Mohd Shukor juga ditanya kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam yang menyebut beliau akan berbincang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memohon pengecualian cukai bagi pembelian alat bantuan pernafasan untuk menggalakkan lebih ramai tampil menyalurkan bantuan. "Ada beberapa individu tampil untuk membekalkan alat bantuan pernafasan mudah ini tetapi dengan syarat ada pengecualian cukai bagi alat tersebut. Saya akan berbincang dengan LHDN sama ada boleh atau tidak diberi pengecualian cukai," kata Dr Hilmi.

Mohd Shukor berkata pihaknya tidak mempunyai masalah tentang perkara itu kerana LHDN memang ada menyediakan peruntukan di dalam akta cukai pendapatan kepada mereka yang ingin membantu pihak hospital. Beliau berkata, penolakan cukai pendapatan ini boleh diperolehi sekiranya pihak yang ingin menderma mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Sebelum itu, Mohd Shukor telah merasmikan gimik pelancaran Kempen Cinta Malaysia di Plaza Tol PLUS Sg Besi, yang turut dihadiri ikon kempen, Datuk Aznil Nawawi dan beberapa artis tanah air. Kempen kesedaran itu disasarkan kepada semua golongan dan kategori termasuk kanak-kanak bermula dari peringkat prasekolah dan belia, bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan mengenai percukaian serta kepentingannya kepada negara serta tanggungjawab orang ramai.


Mohd Shukor bersama-sama beberapa artis tanah air juga turut menyampaikan sumbangan raya kepada pengguna jalan raya di plaza tol itu yang menuju ke arah selatan, sempena Aidilfitri.