Pages

Friday, March 17, 2017

OPERASI HASIL PERINGKAT PEJABAT PENGARAH NEGERI SEMBILAN/MELAKA BIL. 1/2017, LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA









Melaka, 16 Mac  -Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melancarkan program Operasi Hasil Peringkat Pejabat Pengarah Negeri Sembilan/Melaka kali pertama untuk tahun ini dengan aktiviti yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan kadar pematuhan dan pembesaran asas cukai.


Melalui program yang dijadualkan selama tiga hari inibermula semalam dan akan berakhir pada 17 Mac 2017, LHDNM akan menjalankan aktiviti penyerahan notis tunggakan, serahan saman, banci perniagaan, lawatan audit majikan, lawatan audit perniagaan dan operasi siasatan. Aktiviti menyeluruh ini adalah bagi memastikan impak yang berterusan ke atas pematuhan cukai dirasai oleh masyarakat umum dan pembayar cukai khususnya.


Operasi yang diketuai sendiri oleh Datuk Hassim Bin Shafiai, Pengarah Negeri LHDNM, Negeri Sembilan/Melaka turut disertai oleh Pengarah Cawangan Melaka, Pengarah Cawangan Seremban, Pengarah Cawangan Siasatan Melaka, Pengarah Cawangan Siasatan Seremban dan Pengarah Bahagian Penyelarasan PPN N.Sembilan/Melaka. Seramai 149 orang pegawai LHDNM dari Cawangan Melaka dan Cawangan Seremban diberikan tanggungjawab untuk menjayakan Operasi Hasil ini. Pegawai petugas turut bertanggungjawab memberikan penerangan yang jelas mengenai tanggungjawab membayar cukai pendapatan kepada masyarakat.


Antara matlamat utama operasi ini adalah bagi memastikan setiap individu yang layak dikenakan cukai membayar cukai yang sepatutnya demi memastikan kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai semua inisiatif program pembangunan.


Sebanyak 220 premis perniagaan akan dilawati di sekitar kawasan Bandar Melaka untuk tujuan banci perniagaan dan pembesaran asas cukai pada kali ini. LHDNM turut akan menjalankan aktiviti penyerahan notis tunggakan hasil dan saman berjumlah RM5.16 juta kepada 355 pemilik syarikat dan pembayar cukai individu. Manakala  sebanyak 91 aktiviti perniagaan akan dilawati bagi aktiviti pengauditan syarikat, majikan dan milikan tunggal. Aktiviti pengauditan ini dijalankan bagi memastikan setiap pendapatan yang dilaporkan oleh perniagaan adalah betul dan tepat.


Sebagai sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan dalam mentadbir cukai langsung negara, adalah amat penting bagi LHDNM memastikan tahap kesedaran cukai dalam kalangan masyarakat sentiasa dipertingkatkan. Ini kerana, ia memberikan kesan secara langsung terhadap kadar pematuhan cukai secara sukarela di negara ini, sekaligus akan dapat mengurangkan tunggakan hasil dan menjamin hasil yang mapan untuk pembangunan negara yang berterusan.

Sumber: Kenyataan Media LHDN

Sunday, March 5, 2017

DOKTOR PAKAR DITUDUH MELAKUKAN PENGELAKAN CUKAI DI BAWAH AKTA CUKAI PENDAPATAN 1967




SHAH ALAM 22 Februari – Seorang doktor pakar jantung dihadapkan di Mahkamah Majistret Trafik & Juvana pada hari ini atas tujuh (7) pertuduhan melakukan pengelakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP1967).

Dr Ahmad Nizar Jamaluddin, 56 tahun didapati telah secara sengaja dan dengan niat untuk mengelak cukai dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada perkhidmatan sebagai doktor pakar sebanyak RM2,763,445.00 bagi tahun taksiran 2007, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 114(1) (a) ACP 1967.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari RM1,000.00 dan tidak lebih dari RM20,000.00 atau penjara bagi suatu tempoh tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda dari amaun cukai terkurang yang keseluruhannya berjumlah sebanyak RM2,189,904.75.

Tertuduh yang tidak hadir dan diwakili oleh ejen cukai mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Tuan Khairul Nizam Abu Bakar terhadap kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 15 Mac 2017.

Untuk siaran segera Muka surat 2 daripada 2 Kenyataan Media LHDNM, 22 Februari 2017 Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Kanan Hasil Puan Norzilah binti Abdul Hamid dan dibantu oleh Puan Nor Asmah Adam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Kenyataan Media LHDN