Khutbah Jumaat kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) hari ini mengingatkan bahawa sebarang langkah memperkenal dasar
percukaian baru mesti dibuat berdasarkan kajian teliti supaya tidak
membebankan.
Mimbar berhujah, berdasarkan pandangan Imam Abu Yusuf, ulama
dalam bidang percukaian Islam, sesebuah negara boleh menaik atau menurunkan
kadar cukai mengikut kemampuan rakyat.
“Pandangan Imam Abu Yusuf ini amat tepat kerana untuk
mewujudkan dasar percukaian baru perlu dibuat kajian teliti supaya tidak
membebankan rakyat dan pengguna terutama golongan daif dan miskin,” teks
khutbah itu dipetik.
Khutbah yang disediakan untuk masjid-masjid di Wilayah
Persekutuan itu berjudul “Memakmurkan Ekonomi Tanggungjawab Bersama”.
Sementara itu, khutbah juga menegur budaya
melengah-lengahkan membayar cukai dan berhutang melibatkan masyarakat Islam.
“Cuba bayangkan berapa banyak kerajaan terpaksa menanggung
kerugian akibat budaya hidup sebegini, berapa banyak projek pembangunan yang
dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya,” menurut khutbah itu
lagi.
Perbuatan tidak membayar cukai, tegasnya, adalah sama seperti
lari daripada membayar hutang.
“Rakyat akan mengalami kesulitan dan negara akan mengalami
kelembapan ekonomi disebabkan ada golongan yang cuai membayar hutang.
“Takutlah kepada Allah SWT kerana mereka yang berhutang
tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT.
Kerajaan akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST) pada April tahun depan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan
(SST).