Pages

Monday, June 29, 2015

LHDN, JKDM Buru Syarikat Enggan Bayar Cukai Pendapatan







KUALA LUMPUR 13 Jun – Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) akan terus memburu pihak yang enggan membuat pembayaran cukai melalui sistem pertukaran maklumat bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berdasarkan maklumat terperinci yang diperoleh ketika melakukan operasi.

Pengarah Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN), Asriah Shaari berkata, JKDM akan memberi maklumat seperti nama syarikat serta nombor cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada resit untuk membuat pengesahan sama ada syarikat tersebut membuat pembayaran cukai pendapatan atau terdapat sebarang keraguan.

Katanya, LHDN akan melakukan siasatan terperinci serta mengaudit syarikat terbabit jika didapati bersalah sebelum dikenakan sebarang tindakan.“Denda akan dikenakan berdasarkan dari tarikh pembayaran yang sepatutnya dibuat. Kita akan kenakan tindakan mahkamah jika mereka tidak mengembalikan borang cukai pendapatan atau tidak membayar cukai untuk tempoh tertentu.

“Segala maklumat yang ada pada kastam ada pada kami. Langkah ini berkesan untuk kenal pasti syarikat yang hanya bayar cukai GST tetapi cuba mengelak melunaskan cukai pendapatan,” katanya.