Ikon Cinta Malaysia
KUALA LUMPUR - Dilantik sebagai ikon Cinta Malaysia Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi menyifatkan ia satu penghargaan oleh kerajaan kepada golongan artis atau selebriti. Ditemui ketika sambutan Hari Hasil ke-19 di Menara Hasil Cyberjaya baru-baru ini, personaliti itu memberitahu, pemilihan individu sepertinya dalam menyampaikan hasrat kerajaan adalah satu alternatif baharu agar ia diterima baik masyarakat setempat.
“Saya lihat ia satu kaedah baik yang perlu diperluaskan oleh mana-mana agensi kerajaan atau badan korporat yang mendukung dasar negara untuk menyebarkan maklumat secara lebih menyeluruh kepada penduduk negara ini, secara tidak langsung mesej tersebut diterima dengan lebih efektif. “Kadang-kadang, kempen anjuran kerajaan dipandang enteng oleh sesetengah pihak dan tidak mengambil serius tentang apa yang telah disampaikan, lantas intipati yang terdapat di dalamnya gagal disalurkan dengan berkesan.
“Justeru, menggunakan medium hiburan menerusi golongan seperti saya, ia satu langkah bijak yang wajar diberi pujian. Masyarakat dilihat lebih mudah menerima sesuatu yang disampaikan secara santai dan libur,” katanya kepada Hits.Mengulas peranannya sebagai ikon, Aznil memberitahu dia mahu mengetengahkan konsep perkongsian dan kasih sayang dalam memberikan pemahaman kepentingan cukai dalam pembangunan negara.“Saya mahu semarakkan rasa cinta terhadap negara dan pada masa sama menyedarkan masyarakat betapa pentingnya pembayaran cukai demi kelestarian ekonomi negara,” jelasnya.
Tambahnya, pelbagai program dirangka bagi menjayakan kempen tersebut termasuklah menjelajah ke beberapa lokasi seperti sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi mendedahkan situasi sebenar kepada golongan muda atau generasi baharu.Menurut pengacara yang baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat itu, siri jelajah yang dirancangnya bersifat ringkas dan mudah difahami dalam suasana penyampaian berbentuk hiburan.“Kontrak ini selama setahun. Dalam tempoh tersebut, saya akan giat ke seluruh negara mendekati golongan muda untuk menerapkan rasa cinta mereka terhadap negara. Secara tidak langsung, maklumat mengenai sistem cukai juga akan disampaikan.
“Selain itu, golongan artis dan selebriti juga menjadi sasaran untuk penghebahan ini agar tidak alpa melunaskan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Pengutipan cukai ini adalah kebaikan bersama pada masa akan datang, jadi
apa salahnya tunaikan kewajipan tersebut demi anak cucu mereka juga,” jelasnya. Kata Aznil, dia mahu menjadi ‘jambatan’ antara golongan selebriti dan LHDN dalam memastikan mereka mendapat maklumat yang betul selain khidmat nasihat berhubung pembayaran cukai.
-UTUSAN