Pages

Wednesday, July 12, 2017

LHDN kutip RM56 bilion setakat Julai

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip cukai berjumlah lebih RM56 bilion sehingga awal Julai tahun ini, mengatasi kutipan sebanyak RM55 bilion yang dicatatkannya dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata pencapaian tersebut sekali gus memberi keyakinan LHDN mampu mencapai sasaran RM127.7 bilion kutipan cukai yang ditetapkan kerajaan tahun ini.
"Melalui rekod yang dicatatkan ini, sekali gus menidakkan kata-kata yang sebelum ini mengatakan hasil negara kita makin berkurangan dan ianya adalah tidak berasas," katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran LHDN, di Cyberjaya, hari ini.
Mohd Irwan berkata perkembangan ekonomi negara juga menunjukkan peningkatan dari segi pelaburan manakala aliran masuk dana luar ke dalam pasaran saham serta bon-bon kerajaan semakin mengukuh.
Malahan, katanya, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) juga meningkat dan kini berjumlah lebih US$98 bilion (US$1=RM4.3).
Beliau berkata Malaysia turut mendapat banyak pengiktirafan indeks dan penarafan yang baik yang meletakkan negara sebagai salah sebuah destinasi pelaburan terpenting atau pilihan utama.
"Malahan banyak lagi syarikat antarabangsa yang datang merisik untuk melabur di negara kita, jadi, kita harus membuat pilihan yang tepat terutamanya syarikat yang mampu membawa teknologi tinggi tanpa kebergantungan tenaga kerja yang banyak dari segi pekerja migran (pekerja asing)," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah berkata LHDN yakin dengan pemantapan program pencukaian yang dilaksanakannya jumlah sasaran kutipan cukai yang ditetapkan kerajaan mampu dicapai.
Selain itu, katanya, agensi tersebut kini sedang meningkatkan aktiviti pengauditan dan penyiasatan cukai kepada warga asing yang menjalankan perniagaan tetapi gagal melaporkan pendapatan kepada LHDN.
"Mereka ini kita dapati banyak menjalankan perniagaan terutama sekali di Lembah Klang terutamanya dalam perniagaan restoran, runcit serta pelancongan," katanya.
Mengenai Ops Kutip, Sabin berkata setakat ini LHDN telah berjaya mengutip 25 peratus daripada RM225 juta cukai tertunggak dan yakin mampu mencapai kutipan sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sumber: Bernama