Thursday, July 23, 2015

LHDN Terima 3.1 Juta Borang e-Filing



KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima 3.1 juta borang nyata cukai pendapatan e-Filing setakat bulan Mei tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, LHDN menjangkakan peningkatan kepada empat juta orang ramai memasuki e-Filing sehingga akhir tahun ini. Angka itu merupakan pertambahan lebih daripada 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, katanya dalam sidang media Kempen Cinta Malaysia di sini, Selasa.

"Peningkatan adalah antara 15 ke 20 peratus dan trend peningkatan berlaku pada setiap tahun menunjukkan bahawa pembayar-pembayar cukai terutamanya golongan generasi Y yang celik komputer memilih penggunaan 'e-services' iaitu e-filing sebagai pilihan utama. "Jumlah borang yang dihantar setakat ini adalah 3.1 juta. Untuk setengah tahun ini kita telah dapat sebahagian besar daripada borang itu dan kita akan terima hingga hujung tahun ini mengikut kategori pembayar cukai," katanya.

Mohd Shukor juga ditanya kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam yang menyebut beliau akan berbincang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memohon pengecualian cukai bagi pembelian alat bantuan pernafasan untuk menggalakkan lebih ramai tampil menyalurkan bantuan. "Ada beberapa individu tampil untuk membekalkan alat bantuan pernafasan mudah ini tetapi dengan syarat ada pengecualian cukai bagi alat tersebut. Saya akan berbincang dengan LHDN sama ada boleh atau tidak diberi pengecualian cukai," kata Dr Hilmi.

Mohd Shukor berkata pihaknya tidak mempunyai masalah tentang perkara itu kerana LHDN memang ada menyediakan peruntukan di dalam akta cukai pendapatan kepada mereka yang ingin membantu pihak hospital. Beliau berkata, penolakan cukai pendapatan ini boleh diperolehi sekiranya pihak yang ingin menderma mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Sebelum itu, Mohd Shukor telah merasmikan gimik pelancaran Kempen Cinta Malaysia di Plaza Tol PLUS Sg Besi, yang turut dihadiri ikon kempen, Datuk Aznil Nawawi dan beberapa artis tanah air. Kempen kesedaran itu disasarkan kepada semua golongan dan kategori termasuk kanak-kanak bermula dari peringkat prasekolah dan belia, bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan mengenai percukaian serta kepentingannya kepada negara serta tanggungjawab orang ramai.


Mohd Shukor bersama-sama beberapa artis tanah air juga turut menyampaikan sumbangan raya kepada pengguna jalan raya di plaza tol itu yang menuju ke arah selatan, sempena Aidilfitri.

Monday, June 29, 2015

LHDN, JKDM Buru Syarikat Enggan Bayar Cukai Pendapatan







KUALA LUMPUR 13 Jun – Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) akan terus memburu pihak yang enggan membuat pembayaran cukai melalui sistem pertukaran maklumat bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berdasarkan maklumat terperinci yang diperoleh ketika melakukan operasi.

Pengarah Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN), Asriah Shaari berkata, JKDM akan memberi maklumat seperti nama syarikat serta nombor cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada resit untuk membuat pengesahan sama ada syarikat tersebut membuat pembayaran cukai pendapatan atau terdapat sebarang keraguan.

Katanya, LHDN akan melakukan siasatan terperinci serta mengaudit syarikat terbabit jika didapati bersalah sebelum dikenakan sebarang tindakan.“Denda akan dikenakan berdasarkan dari tarikh pembayaran yang sepatutnya dibuat. Kita akan kenakan tindakan mahkamah jika mereka tidak mengembalikan borang cukai pendapatan atau tidak membayar cukai untuk tempoh tertentu.

“Segala maklumat yang ada pada kastam ada pada kami. Langkah ini berkesan untuk kenal pasti syarikat yang hanya bayar cukai GST tetapi cuba mengelak melunaskan cukai pendapatan,” katanya.

Tuesday, March 10, 2015

GST Tidak Jejas Sasaran Cukai





KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan memberi impak kepada jumlah hasil pungutan cukai sebanyak RM142.6 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun ini kerana sasaran itu telah mengambil kira faktor tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, penurunan kadar cukai individu dan syarikat yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2015, tidak akan memberi kesan kepada jumlah kutipan cukai secara keseluruhan.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, trend kutipan cukai sentiasa meningkat dari semasa ke semasa berikutan usaha-usaha yang diambil oleh LHDN serta peningkatan dalam kesedaran dalam kalangan pembayar cukai.

"Penurunan kadar cukai (susulan daripada pelaksanaan GST) tidak akan memberi kesan kepada jumlah kutipan tahun ini dengan harapan pembayar cukai akan sentiasa sedar akan tanggungjawabnya.

"Ini penting kerana pembayaran cukai tersebut adalah untuk pembangunan negara, serta kesejahteraan kita dan generasi akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptamanya pada Forum Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia-Institut Percukaian Malaysia 2015, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi yang menyatakan kutipan LHDN bakal terjejas kerana sebahagian hasil tersebut telah beralih kepada hasil yang dipungut menerusi GST. Pada tahun lepas, LHDN telah mengutip cukai berjumlah RM133.7 bilion, meningkat sebanyak 3.59 peratus daripada jumlah kutipan pada 2013.

Mohd Shukor berkata kutipan cukai bagi tahun ini dijangka agak mencabar susulan daripada ketidaktentuan harga minyak dunia.

Bagaimanapun, selagi tiada penurunan kadar pertumbuhan ekonomi yang mendesak di peringkat antarabangsa, beliau yakin tiada masalah bagi LHDN dalam melaksanakan kutipan cukai yang memberangsangkan tahun ini.

Bagi e-filing, beliau mensasarkan jumlah kutipan borang cukai menerusi kaedah ini meningkat kepada empat juta berbanding 3.8 juta yang diterima pada tahun lepas, melebihi sasaran awal sebanyak hanya tiga juta.

Beliau menyeru pembayar cukai agar memilih e-filing sebagai pilihan utama kerana kaedah tersebut dapat mengira cukai dengan lebih tepat, proses percukaian lebih cepat dan pembayaran semula cukai juga dapat dilakukan dengan lebih pantas.

Tambahnya, LHDN telah memberi kelonggaran kepada pembayar cukai yang memilih kaedah e-filing dengan tarikh akhir penerimaan borang pada 15 Mei berbanding borang manual pada 30 April. - BERNAMA

Thursday, March 5, 2015

Investment Holding Company (IHC)

SOALAN

Salam tuan, sy XXX dari jb nk bertanyakan ttg IHC..sebelum2 ni ada baca posting2 tuan di forum2, dan sy kurang dapat pendedahan ttg IHC ni.. ada byk persoalan sebelum sy hendak mendaftarkan IHC melalui syarikat tuan..
1. Kalau hanya mempunyai syarikat enterprise bolehke masuk dibawah pegangan holding tersebut?
2. Perlu ke sy hire staff seperti jabatan HR, jabatan kewangan, jabatan audit dalaman,jabatan corporate marketing, jabatan harta intelek, jabatan pengurusan harta dan penasihat undang2 sebaik sahaja IHC ni ditubuhkan?
3. Betulke kalau ada 3 syarikat yang menguntungkan di bawah IHC dan 2 syarikat yg rugi,maka kadar percukaian akan lebih rendah berbanding atau lebih diistihar sbg ‘tiada untung’? Dan bagaimana cara membuat pinjaman jika berada di situasi sebegini?
4. Benarkah jika satu syarikat yg baru sahaja didaftar dapat menerima nilai pinjaman yg tinggi?
                                                                  

JAWAPAN

Salam Tuan,

Terima kasih atas soalan-soalan yang telah diberikan.

1. Untuk makluman pihak Tuan, Enterprise (Perniagaan Milikan Tunggal) dan Syarikat Sdn. Bhd. merupakan dua entiti yang berbeza.

Hal ini adalah kerana Enterprise didaftarkan di atas nama perseorangan iaitu Pemilik perniagaan itu sendiri dibawah Akta Perniagaan 1956. Sekiranya mempunyai lebih daripada seorang Pemilik, maka perniagaan tersebut jatuh di bawah Perkongsian berdasarkan Akta Perkongsian 1964.

Bagi Syarikat Sdn Bhd pula, Pengarah (sekurang-kurangnya dua orang) dan Pemegang Saham diperlukan untuk penubuhan Syarikat. Syarikat Sdn Bhd dan Pengarah merupakan entiti berbeza berdasarkan Akta Syarikat 1965

Hanya Syarikat yang dinyatakan dalam Akta Syarikat 1965 sahaja boleh dimasukkan dibawah Holding Company. Hal ini kerana Enterprise atau Milikan Tunggal tidak mempunyai pegangan saham yang membolehkan Syarikat Pegangan memegang saham terhadap Anak Syarikat.

2. Untuk memudahkan pihak Tuan menguruskan Syarikat IHC ini, pihak Tuan digalakkan untuk mempunyai pekerja yang bersesuaian dengan skop dan kerja yang terlibat. Hal ini kerana tiada kewajipan yang tertakluk di dalam mana-mana akta.

3.  Untuk makluman pihak Tuan, terdapat perbezaan bagi Holding Company dan Investment Holding Company (IHC). Perbezaannya adalah :


Holding Company
Investment Holding Company
Pendapatan diterima
Pendapatan diterima daripada perniagaan berdasarkan Seksyen 4(a) Akta Cukai Pendapatan 1967
Pendapatan diterima daripada faedah, sewa dan dividen berdasarkan Seksyen 4(c) dan 4(d) Akta Cukai Pendapatan 1967
Ciri-ciri
Beberapa Syarikat Sdn Bhd yang dihimpunkan menjadi satu kumpulan besar dan mempunyai pegangan terhadap setiap Syarikat dibawahnya.
1. Aktiviti utama bagi IHC adalah pelaburan.
2. 80% daripada pendapatan yang diterima mestilah daripada pelaburan.
Layanan Cukai
Syarikat Menuntut boleh menuntut pelepasan berkumpulan terhad kepada 70% daripada kerugian tahun semasa yang tidak diserap oleh Syarikat Menyerah dan tertakluk kepada syarat-syarat.
Setiap pendapatan daripada pelaburan yang diterima akan ditolak perbelanjaan bagi perlaburan tersebut sahaja.

Sekiranya terdapat 3 pelaburan yang berbeza, maka perbelanjaan akan diasingkan berdasarkan pelaburan tersebut. Terdapat formula bagi menentukan jumlah perbelanjaan yang boleh diberi tolakan.

Kemudian, pendapatan bersih bagi setiap pelaburan tersebut akan ditambah dan menghasilkan cukai perlu dibayar.

4. Terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan sekiranya pihak Tuan  mempunyai Holding Company. Antaranya:

Kelebihan
Kekurangan
a. Berpotensi luas untuk melabur dalam projek berisiko tinggi di mana modalyang tinggi diperlukan dan kos operasi yang ditanggung boleh ditolak daripada keuntungan syarikat lain.

b. Dengan menjadi anak syarikat yang besar dan berwibawa, anak syarikat mudah mendapat kepercayaan dari pelabur, pelanggan dan pembekal.

c. Syarikat Pemegang boleh menuntut pelepasan berkumpulan terhad kepada 70% daripada kerugian tahun semasa yang tidak diserap oleh Anak Syarikat  dan tertakluk kepada syarat-syarat.
a. Menanggung kos perbelanjaan   yang tinggi.

b. Jika syarikat menyerah kerugian memberikan amaun kentungan terlaras yang tidak tepat, syarikat menyerah kerugian boleh dikenakan penalti bersamaan dengan cukai yang dikenakan atau yang terkurang caj pada syarikat menuntut.

c. Syarikat yang telah menuntut insentif lain (selain pelepasan berkumpulan) tidak boleh menuntut pelepasan berkumpulan.

Untuk maklumat lanjut mengenai IHC, boleh layari laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) :



Sekian, terima kasih.