Sunday, March 5, 2017

DOKTOR PAKAR DITUDUH MELAKUKAN PENGELAKAN CUKAI DI BAWAH AKTA CUKAI PENDAPATAN 1967




SHAH ALAM 22 Februari – Seorang doktor pakar jantung dihadapkan di Mahkamah Majistret Trafik & Juvana pada hari ini atas tujuh (7) pertuduhan melakukan pengelakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP1967).

Dr Ahmad Nizar Jamaluddin, 56 tahun didapati telah secara sengaja dan dengan niat untuk mengelak cukai dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada perkhidmatan sebagai doktor pakar sebanyak RM2,763,445.00 bagi tahun taksiran 2007, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 114(1) (a) ACP 1967.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari RM1,000.00 dan tidak lebih dari RM20,000.00 atau penjara bagi suatu tempoh tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda dari amaun cukai terkurang yang keseluruhannya berjumlah sebanyak RM2,189,904.75.

Tertuduh yang tidak hadir dan diwakili oleh ejen cukai mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Tuan Khairul Nizam Abu Bakar terhadap kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 15 Mac 2017.

Untuk siaran segera Muka surat 2 daripada 2 Kenyataan Media LHDNM, 22 Februari 2017 Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Kanan Hasil Puan Norzilah binti Abdul Hamid dan dibantu oleh Puan Nor Asmah Adam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Kenyataan Media LHDN

Thursday, February 16, 2017

Kawasan Bebas Cukai di Kedah




ALOR SETAR: Selain Pulau Langkawi, Kedah bakal mempunyai satu lagi kawasan bebas cukai tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, bandar baharu Bukit Kayu Hitam berhampiran sempadan Kedah dan Thailand bakal dibangunkan sebagai kawasan bebas cukai kedua di samping Langkawi.

"Kawasan bebas cukai itu dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan mesyuarat perancangan mengenainya telah pun diadakan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Kawasan seluas 6,000 hektar telah dikenal pasti membabitkan tanah milik swasta dan anak syarikat kerajaan negeri Kedah," katanya selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parti Gerakan Kedah di Lebuhraya Darulaman, Alor Setar di sini, hari ini.

Jelasnya, perancangan untuk membangunkan satu kawasan baru bebas cukai di kawasan Bukit Kayu Hitam melalui kerjasama NCIA dan juga kerajaan negeri sudah dibuat sebelum ini.

"Kita telah kenal pasti tanah di kawasan tersebut merupakan milik PKNK dan pihak swasta untuk kita jadikan kawasan Free Trade Zone yang baharu selain Pulau Langkawi.

"Dalam mesyuarat tersebut Perdana Menteri telah mengarahkan NCIA bersama kerajaan negeri melaksanakan perkara ini dan mungkin banyak lagi perkara-perkara lain perlu kita bawa untuk kelulusan kerajaan persekutuan," jelasnya.

Katanya, penduduk-penduduk di kawasan itu nanti bakal menikmati taraf bebas cukai di situ untuk pembelian rumah, kenderaan dan barangan-barangan lain.

Ahmad Bashah berkata, Bukit Kayu Hitam bakal menjadi destinasi pelancongan kawasan membeli belah utama di tanah besar Kedah selepas dibangunkan sebagai kawasan bebas cukai.

Beliau turut menjangkakan Bukit Kayu Hitam akan diistiharkan sebagai kawasan bebas cukai sepenuhnya selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.
Kedudukan Bukit Kayu Hitam hanya berjarak satu kilometer sahaja daripada bandar Danok di Selatan Thailand manakala perjalanan dari Alor Setar mengambil masa kira-kira 35 minit.

Langkawi diistiharkan sebagai pulau bebas cukai pada 1980.




- astro awani

Monday, January 9, 2017

Terjemahan tepat GST dalam Mandarin


KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan hari ini memaklumkan terjemahan tepat bagi terma Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam Bahasa Mandarin ialah 'shang pin ji fu wu shui'.



Menurut kenyataan itu, penggunaan terjemahan 'xiao fei shui' yang digunakan di akhbar dan media sosial ketika ini yang bermaksud 'Cukai Kepenggunaan' atau 'Consumption Tax' adalah tidak tepat.



Penggunaan terjemahan yang tepat itu bertujuan mengelakkan maksud Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dalam Bahasa Mandarin disalah tafsir yang juga akan memberi kesan langsung kepada Kementerian Kewangan.



Sehubungan itu, pihak kementerian berharap semua Ketua Pengarang mengambil maklum berhubung penggunaan terjemahan itu dan mengambil tindakan segera untuk menggunakan terjemahan yang tepat.

-- BERNAMA

Monday, November 28, 2016

Datuk Seri Vida Didakwa Gagal Bayar GST

KUALA LUMPUR: Usahawan komestik dan pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman dibenarkan wang jaminan sebanyak RM1.7 juta dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini, bagi kesemua pertuduhan ke atasnya.

Hasmiza atau dikenali sebagai Vida didakwa 16 pertuduhan di bawah Seksyen 41 (7) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  2014  kerana gagal membayar cukai yang genap masa dan kena dibayar bagi tempoh bercukai dari April 2015 hingga Julai 2016 melibatkan RM4.2 juta.


Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di stesen Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1, Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh.


Hakim Murtazadi Amran juga menetapkan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Terdahulu, beliau tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan bagi kesemua pertuduhan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Murtazadi Amran.


Menurut sumber Astro AWANI, ini merupakan kes pertama defendan yang tidak mengaku bersalah selepas didakwa di bawah Seksyen 41 (7) akta tersebut.


Pihak pendakwaan, Farah Ezlin Yusof meminta RM100,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan untuk jaminan serta dua penjamin warganegara dan pasport tertuduh juga ditahan memandangkan kesalahan itu melibatkan hasil negara.


Peguam tertuduh, Khairil Azwar Khalil meminta hakim merendahkan wang jaminan sebanyak RM3,000 untuk setiap pertuduhan kerana tertuduh merupakan pemilik tunggal syarikat yang dijalankan serta bertanggungjawab ke atas 200 pekerjanya.


Prosiding kes diteruskan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 41 (6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Pendakwaraya sekali lagi meminta hakim mengenakan wang jaminan berjumlah RM100,000 bagi setiap pertuduhan.

Datuk Seri Vida didakwa gagal bayar GST




- astro awani