Pembayar Cukai Kecewa Dan Tidak Berpuas Hati
Kerana Terima Bayaran Balik Lebih Sedikit Berbanding Yang Diharapkan
KUALA LUMPUR: Ribuan pembayar cukai sudah menerima bayaran balik cukai
terlebih bayar tetapi ada di kalangan mereka tidak berpuas hati kerana menerima
bayaran sedikit berbanding yang diharapkan.
Usahawan Shirley Lai berkata, dia terlebih
bayar RM1,500 untuk cukai pendapatan 2011 tetapi hanya menerima cek bernilai
RM570 berserta surat yang memberitahu dia tidak layak untuk menuntut baki
selebihnya.
"Saya masih kurang jelas mengapa saya
tidak layak. Surat itu tidak memberikan sebarang sebab dan saya inginkan
penjelasan," kata Lai, 41.
Muthu Ghani, 35, turut mengalami nasib serupa
apabila menerima bayaran balik tidak seperti yang diharapkannya.
"Terdapat perbezaan ketara dengan apa
yang saya kira berbanding jumlah diterima," katanya.
Kedua-duanya menfailkan taksiran cukai
pendapatan mereka menerusi sistem e-Filing, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sistem itu diperkenalkan pada 2004 dan bayaran
balik cukai terlebih bayar untuk penghantaran borang secara dalam talian
mengambil masa selama 30 hari berbanding 90 hari bagi yang mengembalikan borang
secara manual.
Beberapa pembayar cukai turut mempertikaikan
mengapa mereka menerima cek dan bayaran balik itu tidak dimasukkan terus ke
akaun bank mereka.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim
berkata, para pembayar cukai boleh mengemukakan rayuan kepada lembaga pengarah
untuk tujuan semakan semula.
Presiden Persatuan Peruncit-Rantaian Malaysia
(MRCA) Datuk Nelson Kwok berkata, pembayar cukai mempunyai hak untuk mengetahui
bagaimana LHDN mendapatkan jumlah akhir.
"LHDN mesti mengemukakan butiran secara
telus dan penjelasan juga perlu diberikan," katanya.
Pengarah Komunikasi Korporat LHDN, Nor Azira
Mohd Said berkata, pemberian cek adalah normal kepada sesiapa yang membuka
akaun pertama kali dengan LHDN menggunakan nombor kad pengenalan lama mereka.
"Namun, apabila menggunakan sistem
e-Filing, mereka menggunakan nombor MyKad baru, jadi dua nombor itu tidak
sepadan dan kita tidak boleh memasukkan bayaran balik itu terus ke dalam akaun
bank.