Pages

Tuesday, February 17, 2015

PCB : Pilihan Pembayar Cukai

e-Filing


PETALING JAYA: Berkuatkuasa tahun ini, jumlah Potongan Cukai Berjadual (PCB) oleh pihak majikan akan menentukan sama ada pembayar cukai akan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan (BE) atau tidak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini bermakna, pembayar cukai boleh memilih untuk tidak mengemukakan borang BE jika berpuas hati dengan jumlah PCB pada penyata cukai tahunan yang dikeluarkan majikan masing-masing.

Sehubungan itu, mulai 1 Mac ini, proses menerusi perkhidmatan e-filing bermula bagi pembayar cukai yang masih mahu mengemukakan borang BE kerana menganggap jumlah potongan bulanan berlebihan. Langkah itu sejajar dengan saranan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 pada Oktober 2013.

Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim berkata, sekiranya pembayar cukai berpuas hati dengan jumlah PCB, maka cukainya dianggap muktamad dan tidak perlu mengemukakan borang BE.

"Pembayar cukai boleh buat pilihan untuk tidak hantar borang BE bagi tahun taksiran 2014 sekiranya tiada bantahan terhadap PCB tersebut.
"Perkara ini juga pernah dicadangkan dalam pembentangan Bajet 2014 kerana kerajaan mahu mengurangkan bebanan pekerja dan tidak mahu timbulkan kekeliruan di kalangan pembayar cukai," katanya ketika dihubungi mStar Online baru-baru ini.

Beliau berkata, sekiranya ada pembayar cukai yang merasakan PCB mereka terlebih bayar, mereka perlu mengisi borang cukai secara manual atau menggunakan perkhidmatan e-Filing sebelum atau pada 30 April ini.

"Bagi yang sudah terima borang cukai mereka bolehlah hantar borang lengkap kepada LHDN. Tarikh akhir untuk hantar borang BE 2014 secara manual pada 30 April ini," katanya.Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Masrun berkata, sekiranya LHDN tidak menerima borang cukai mereka selepas tarikh ditetapkan maka pembayar cukai dianggap berpuas hati dengan PCB tersebut.

"Kita akan anggap mereka berpuas hati dengan PCB tersebut dan tuntutan bayaran cukai terlebih bayar tidak akan dipulangkan," katanya. Bagaimanapun, Masrun berkata, jika ada pembayar cukai yang masih tidak berpuas hati dengan PCB selepas tarikh akhir, mereka masih boleh menghantar borang cukai untuk membolehkan tuntutan semula.

"Katakanlah kalau tiba-tiba pembayar cukai ubah fikiran, apabila teliti semula mereka rasakan ada cukai terlebih bayar, mereka masih boleh kemuka borang cukai menerusi dua kaedah yang ditawarkan. "Namun, jika pembayar cukai memilih untuk menghantar borang tersebut secara manual mereka akan dikenakan penalti kerana borang dianggap lewat diterima untuk pemprosesan tuntutan," katanya.

Jelasnya, sekiranya pembayar cukai adalah pengguna sistem e-Filing mereka mempunyai tempoh tambahan selama 15 dari tarikh akhir untuk berbuat demikian.
"Pengguna sistem e-Filing boleh menghantar borang cukai mereka bermula 1 Mac depan. Mereka juga ada tambahan masa 15 hari dari tarikh akhir untuk kemukakan borang tersebut," katanya.

Ditanya mengenai kaedah yang digunapakai sebelum ini, Masrun berkata, setiap majikan diwajibkan membuat PCB ke atas pekerja yang layak dan pekerja (pembayar cukai) pada masa sama masih perlu mengemukakan borang cukai mereka.

"Walaupun PCB mereka telah dipotong, borang cukai masih perlu dikemukakan. Jadi kita terima rungutan berhubung perkara ini. Kaedah ini diharap dapat menyenangkan mereka," katanya. Beliau berkata, kaedah PCB sebagai cukai muktamad ini akan digunapakai terhadap individu makan gaji dan tafsiran cukai dibuat secara berasingan bagi individu yang telah berkahwin.

Berikutan sistem baharu ini, katanya, sasaran penggunaan e-Filing bagi individu makan gaji dijangka merosot pada tahun ini. "Kami meletakkan sasaran tiga juta e-Filing pelbagai borang nyata diterima pada tahun ini tapi akan berlaku kemerosotan bagi E-Filing individu makan gaji kerana pelaksanaan sistem baharu ini bermula 1 Mac ini," katanya.

Wednesday, February 11, 2015

Anda Layak DiCukai ?

Cukai pendapatan individu ialah sejenis cukai yang dikenakan atas :
  • Pendapatan yang diperolehi daripada PENGGAJIAN yang dilakukan oleh seseorang individu
  • Keuntungan atau laba yang diperolehi daripada aktiviti komersial yang dilakukan oleh seseorang individu; atau
  • Keuntungan atau laba yang diperolehi daripada aktiviti komersial oleh sesuatu entiti.
Terdapat 2 faktor yang menyebabkan anda terikat dalam isu percukaian di Malaysia :
  • Samada anda seorang permastatutin atau tidak. Ianya merujuk kepada tempoh anda tinggal di Malaysia tanpa megira kerakyatan anda.
  • Samada pendapatan diperolehi daripada sumber di Malaysia atau tidak
Mulai tahun taksiran 2004, pendapatan yang diterima oleh seseorang di Malaysia dari luar negara adalah dikecualikan daripada cukai. Oleh itu sesorang yang mastautin ataupun tidak, tidak akan dikenakan cukai tersebut. Pendapatan yang diterima di Malaysia sahaja akan dikenakan cukai (sekiranya layak).

Taraf Mastatutin
Taraf mastautin bagi maksud percukaian adalah tertakluk tempoh sesorang yang tinggal di Malaysia dan bukan merujuk kepada taraf kerakyatan atau kewarganegaraannya.Sesorang itu dikira bermastatutin di Malaysia apabila berada di Malaysia tidak kurang dari 182 hari (tidak semestinya berterusan).

Pembayar Cukai Individu
Individu didefinisikan sebagai Orang selain daripada Syarikat atau Perbadanan. Seseorang individu layak dikenakan cukai pendapatan jika memperolehi pendapatan dari mana-mana punca dalam tahun asas bagi satu tahun taksiran :
  • PERNIAGAAN & PROFESION - Seksyen 4 (a)
  • PENGAJIAN - Seksyen 4 (b)
  • DIVIDEN, FAEDAH & DISKAUN - Seksyen 4 (c)
  • SEWA, ROYALTI & PREMIUM - Seksyen 4 (d)
  • PENCEN, ANUITI & LAIN-LAIN BAYARAN BERKALA - Seksyen 4 (e)
  • LAIN-LAIN - Seksyen 4 (f)



Tuesday, February 10, 2015

Pembayar Cukai Kecewa Terima Bayaran Balik Lebih Sedikit


Pembayar Cukai Kecewa Dan Tidak Berpuas Hati Kerana Terima Bayaran Balik Lebih Sedikit Berbanding Yang Diharapkan

KUALA LUMPUR: Ribuan pembayar cukai sudah menerima bayaran balik cukai terlebih bayar tetapi ada di kalangan mereka tidak berpuas hati kerana menerima bayaran sedikit berbanding yang diharapkan.



Usahawan Shirley Lai berkata, dia terlebih bayar RM1,500 untuk cukai pendapatan 2011 tetapi hanya menerima cek bernilai RM570 berserta surat yang memberitahu dia tidak layak untuk menuntut baki selebihnya.


"Saya masih kurang jelas mengapa saya tidak layak. Surat itu tidak memberikan sebarang sebab dan saya inginkan penjelasan," kata Lai, 41.
Muthu Ghani, 35, turut mengalami nasib serupa apabila menerima bayaran balik tidak seperti yang diharapkannya.

"Terdapat perbezaan ketara dengan apa yang saya kira berbanding jumlah diterima," katanya.
Kedua-duanya menfailkan taksiran cukai pendapatan mereka menerusi sistem e-Filing, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sistem itu diperkenalkan pada 2004 dan bayaran balik cukai terlebih bayar untuk penghantaran borang secara dalam talian mengambil masa selama 30 hari berbanding 90 hari bagi yang mengembalikan borang secara manual.

Beberapa pembayar cukai turut mempertikaikan mengapa mereka menerima cek dan bayaran balik itu tidak dimasukkan terus ke akaun bank mereka.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim berkata, para pembayar cukai boleh mengemukakan rayuan kepada lembaga pengarah untuk tujuan semakan semula.

Presiden Persatuan Peruncit-Rantaian Malaysia (MRCA) Datuk Nelson Kwok berkata, pembayar cukai mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana LHDN mendapatkan jumlah akhir.

"LHDN mesti mengemukakan butiran secara telus dan penjelasan juga perlu diberikan," katanya.

Pengarah Komunikasi Korporat LHDN, Nor Azira Mohd Said berkata, pemberian cek adalah normal kepada sesiapa yang membuka akaun pertama kali dengan LHDN menggunakan nombor kad pengenalan lama mereka.

"Namun, apabila menggunakan sistem e-Filing, mereka menggunakan nombor MyKad baru, jadi dua nombor itu tidak sepadan dan kita tidak boleh memasukkan bayaran balik itu terus ke dalam akaun bank.

"Kita kemudiannya mengeluarkan cek daripada menunggu pembayar cukai mengemaskini butiran peribadi mereka dengan kami," katanya.


Friday, February 6, 2015

LHDN Mencatat Kutipan Sebanyak RM115 Bilion Cukai Setakat Awal Disember

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mencatat kutipan sebanyak RM115 bilion sehingga awal Disember lalu yang merupakan jumlah kutipan tertinggi pernah dicapai badan itu, setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata berdasarkan rekod itu, pihaknya yakin sasaran RM123 bilion kutipan cukai sehingga akhir tahun ini dapat dicapai.

"Pada tahun lalu, LHDN berjaya memecah kebuntuan kutipan cukai daripada dua digit bilion kepada tiga digit bilion iaitu RM109.6 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah percukaian negara. Usaha ini diteruskan tahun ini dengan tema 'Meneroka Lautan Biru: Zon Kutipan Cukai Tiga Digit' untuk mengenal pasti ruang-ruang baru penjanaan sumber pendapatan negara bagi mengekal dan meningkatkan lagi kutipan cukai langsung," katanya berucap dalam majlis Bicara Bersama Negarawan: Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, Isnin.

Dr Mohd Shukor berkata tema 'Menerajui dan Mengurus Perubahan' ditetapkan sebagai asas perjuangan untuk tahun depan bagi mencapai kutipan cukai yang lebih tinggi.

Sementara itu Dr Mahathir berkata selain membantutkan pembangunan negara, kegagalan kerajaan memungut cukai boleh menyumbang kepada pelbagai masalah lain termasuk meningkatkan kadar rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Katanya, apabila kerajaan tidak mempunyai hasil yang secukupnya, maka gaji yang lebih tinggi tidak dapat diberi kepada penjawat awam sekali gus akan memaksa mereka mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan termasuk menerima rasuah.

"Kalau ini berlaku, maka pendapatan kerajaan tidak akan meningkat dan gaji juga tak akan bertambah maka ia akan jadi satu putaran berulang," katanya.

Dr Mahathir turut mengingatkan LHDN agar tidak mengamalkan tindakan 'keras' ketika melaksanakan amanah mengutip hasil daripada pihak tertentu kerana ia hanya akan menyebabkan berlakunya rasuah.

"Kuasa ni jangan melampaui batas, jangan salah guna seperti rampas buku akaun, kalau tak perlu jangan buat tindakan terlalu keras. Gunakan kuasa untuk mengutip hasil bukannya menindas orang lain," katanya.