Monday, December 2, 2013

Hasil Kutipan Kerajaan Persekutuan Meningkat 12.1 Peratus Kepada RM207.913 Bilion Pada 2012

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) - Kerajaan Persekutuan telah mengutip hasil berjumlah RM207.913 bilion pada 2012 iaitu peningkatan sebanyak RM22.494 bilion (12.1 peratus) berbanding RM185.419 bilion pada 2011.

Hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2011, demikian menurut kenyataan oleh Ketua Audit Negara mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2012 siri 3 yang akan dibentangkan di Parlimen hari ini.

Laporan tersebut ialah mengenai Penyata Kewangan Dan Pengurusan Kewangan Tahun 2012 Serta Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri Siri 3.

Mengikut laporan itu, peningkatan hasil sebahagian besarnya disumbangkan oleh cukai pendapatan petroleum, cukai pendapatan syarikat, cukai pendapatan individu, faedah dan perolehan daripada pelaburan, lesen, bayaran pendaftaran dan permit, duti setem dan cukai perkhidmatan.

Kenaikan harga petroleum mentah dunia, perkembangan ekonomi domestik yang kukuh, bayaran dividen lebih tinggi oleh Khazanah Nasional Berhad serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menyumbang kepada peningkatan hasil.

LHDNM telah berjaya mengutip hasil berjumlah RM124.892 bilion pada tahun 2012 berbanding RM109.608 bilion pada tahun 2011 iaitu peningkatan sebanyak RM15.284 bilion (13.9 peratus).


Manakala JKDM pula telah berjaya mengutip sejumlah RM32.319 bilion pada tahun 2012 berbanding RM30.379 bilion pada tahun 2011 iaitu peningkatan sebanyak RM1.940 bilion (6.4 peratus).

Sumber : BERNAMA