Tuesday, March 10, 2015

GST Tidak Jejas Sasaran Cukai





KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan memberi impak kepada jumlah hasil pungutan cukai sebanyak RM142.6 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun ini kerana sasaran itu telah mengambil kira faktor tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, penurunan kadar cukai individu dan syarikat yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2015, tidak akan memberi kesan kepada jumlah kutipan cukai secara keseluruhan.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, trend kutipan cukai sentiasa meningkat dari semasa ke semasa berikutan usaha-usaha yang diambil oleh LHDN serta peningkatan dalam kesedaran dalam kalangan pembayar cukai.

"Penurunan kadar cukai (susulan daripada pelaksanaan GST) tidak akan memberi kesan kepada jumlah kutipan tahun ini dengan harapan pembayar cukai akan sentiasa sedar akan tanggungjawabnya.

"Ini penting kerana pembayaran cukai tersebut adalah untuk pembangunan negara, serta kesejahteraan kita dan generasi akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptamanya pada Forum Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia-Institut Percukaian Malaysia 2015, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi yang menyatakan kutipan LHDN bakal terjejas kerana sebahagian hasil tersebut telah beralih kepada hasil yang dipungut menerusi GST. Pada tahun lepas, LHDN telah mengutip cukai berjumlah RM133.7 bilion, meningkat sebanyak 3.59 peratus daripada jumlah kutipan pada 2013.

Mohd Shukor berkata kutipan cukai bagi tahun ini dijangka agak mencabar susulan daripada ketidaktentuan harga minyak dunia.

Bagaimanapun, selagi tiada penurunan kadar pertumbuhan ekonomi yang mendesak di peringkat antarabangsa, beliau yakin tiada masalah bagi LHDN dalam melaksanakan kutipan cukai yang memberangsangkan tahun ini.

Bagi e-filing, beliau mensasarkan jumlah kutipan borang cukai menerusi kaedah ini meningkat kepada empat juta berbanding 3.8 juta yang diterima pada tahun lepas, melebihi sasaran awal sebanyak hanya tiga juta.

Beliau menyeru pembayar cukai agar memilih e-filing sebagai pilihan utama kerana kaedah tersebut dapat mengira cukai dengan lebih tepat, proses percukaian lebih cepat dan pembayaran semula cukai juga dapat dilakukan dengan lebih pantas.

Tambahnya, LHDN telah memberi kelonggaran kepada pembayar cukai yang memilih kaedah e-filing dengan tarikh akhir penerimaan borang pada 15 Mei berbanding borang manual pada 30 April. - BERNAMA