Thursday, February 16, 2017

Kawasan Bebas Cukai di Kedah




ALOR SETAR: Selain Pulau Langkawi, Kedah bakal mempunyai satu lagi kawasan bebas cukai tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, bandar baharu Bukit Kayu Hitam berhampiran sempadan Kedah dan Thailand bakal dibangunkan sebagai kawasan bebas cukai kedua di samping Langkawi.

"Kawasan bebas cukai itu dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan mesyuarat perancangan mengenainya telah pun diadakan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Kawasan seluas 6,000 hektar telah dikenal pasti membabitkan tanah milik swasta dan anak syarikat kerajaan negeri Kedah," katanya selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parti Gerakan Kedah di Lebuhraya Darulaman, Alor Setar di sini, hari ini.

Jelasnya, perancangan untuk membangunkan satu kawasan baru bebas cukai di kawasan Bukit Kayu Hitam melalui kerjasama NCIA dan juga kerajaan negeri sudah dibuat sebelum ini.

"Kita telah kenal pasti tanah di kawasan tersebut merupakan milik PKNK dan pihak swasta untuk kita jadikan kawasan Free Trade Zone yang baharu selain Pulau Langkawi.

"Dalam mesyuarat tersebut Perdana Menteri telah mengarahkan NCIA bersama kerajaan negeri melaksanakan perkara ini dan mungkin banyak lagi perkara-perkara lain perlu kita bawa untuk kelulusan kerajaan persekutuan," jelasnya.

Katanya, penduduk-penduduk di kawasan itu nanti bakal menikmati taraf bebas cukai di situ untuk pembelian rumah, kenderaan dan barangan-barangan lain.

Ahmad Bashah berkata, Bukit Kayu Hitam bakal menjadi destinasi pelancongan kawasan membeli belah utama di tanah besar Kedah selepas dibangunkan sebagai kawasan bebas cukai.

Beliau turut menjangkakan Bukit Kayu Hitam akan diistiharkan sebagai kawasan bebas cukai sepenuhnya selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.
Kedudukan Bukit Kayu Hitam hanya berjarak satu kilometer sahaja daripada bandar Danok di Selatan Thailand manakala perjalanan dari Alor Setar mengambil masa kira-kira 35 minit.

Langkawi diistiharkan sebagai pulau bebas cukai pada 1980.




- astro awani