Monday, January 26, 2015

Pendaftaran Cukai dan Jenisnya.

SOALAN


Assalamualaikum


Saya ada sedikit kekeliruan tentang cukai yang perlu saya daftar dengan LHDN. saya ada sebuah website mengajar dan telah mendaftar dengan SSM. Pegawai yang ada disitu mengatakan cukai hanya perlu didaftar dengan LHDN dan dibayar jika perniagaan itu mempunyai pendapatan melebihi rm2000-rm3000. Memandangkan pada masa itu website saya tidak mendatangkan apa2 hasil pendapatan langsung, saya tidak mendaftar dengan LHDN. Tetapi, selepas dua tahun, (2015) saya berhasrat untuk membuat jualan menggunakan website saya dan bercadang untuk membuat bank account untuk perniagaan saya.

1. Adakah saya perlu mendaftar dengan LHDN sebelum atau selepas saya mendapat hasil perniagaan?

2. Apakah jenis cukai yang perlu saya buat?



Sekian

JAWAPAN


Assalamualaikum Tuan,


Terima kasih atas soalan yang diberikan.

1. Untuk makluman pihak Tuan, tiada masalah sekiranya pendaftaran dilakukan selepas mendapat hasil perniagaan selagi ia tidak melepasi tarikh akhir bagi penghantaran borang cukai ke LHDN. Sekiranya perniagaan Tuan merupakan perniagaan jenis Milikan Tunggal, maka Tuan perlulah menghantar Borang B (Borang Untuk Individu Bermastautin Yang Mempunyai Punca Pendapatan Perniagaan). Tarikh akhir penghantaran borang ini ke LHDN ialah pada 30 Jun.

Setiap Individu yang menjalankan Perniagaan adalah dinasihatkan untuk menyediakan akaun perniagaan bagi mendapatkan Penyata Untung Rugi dan Kunci Kira-Kira. Semua maklumat ini akan diisi ke dalam borang cukai dan maklumat yang diisi mestilah tepat kerana sekiranya pihak LHDN mendapati terdapat kesalahan dalam mengisytiharkan maklumat, maka pihak Tuan akan dikenakan penalti.

Contoh dilampiran 1 adalah proses yang perlu dilalui bagi mendapatkan maklumat yang tepat untuk Borang B. Sekiranya perlu, pihak Tuan boleh mendapatkan nasihat daripada mereka yang lebih arif seperti Akauntan, dalam perkara-perkara berkaitan Penyata Pendapatan dan Kunci Kira-Kira Perniagaan Tuan.

2. Untuk makluman pihak Tuan, bagi Individu yang menjalankan perniagaan, jenis cukai yang dibayar ialah cukai pendapatan kerana pendapatan yang diisytiharkan akan jatuh keatas Individu. Borang cukai yang perlu dihantar adalah Borang B iaitu sebelum atau pada 30 Jun tahun berikutnya.

Harap penjelasan kami ini dapat membantu merungkaikan kekeliruan Tuan.

Sekian, terima kasih