Sunday, April 16, 2017

LHDN muktamad siasatan 20 syarikat elak cukai

                

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan audit dan siasatan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas 20 syarikat besar membabitkan kehilangan hasil RM1.4 bilion disebabkan pengelakan cukai dan penalti, dijangka dimuktamadkan bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sabin Samitah, berkata syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat senarai awam itu akan menerima notis cukai tertunggak yang perlu dibayar dalam tempoh setahun dari tarikh yang dikeluarkan.

"Jika mereka tidak bayar, kami akan membawa kes itu ke mahkamah dan (hanya selepas itu) kami boleh mendedahkan nama mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 'Ops Gegar Bersepadu' di sini, hari ini.
Beliau berkata, 20 syarikat terbabit adalah sektor telekomunikasi, perladangan, hartanah dan institusi kewangan.

LHDN ketika ini menjalankan pengauditan dan siasatan cukai ke atas 30 syarikat besar membabitkan kehilangan hasil keseluruhan kira-kira RM2.2 bilion disebabkan pengelakan cukai dan penalti.
Daripada jumlah syarikat itu, Sabin berkata, 10 syarikat telah menerima notis tunggakan cukai dan membayar RM800 juta keseluruhannya bagi pengelakan cukai dan penalti.
Sebelum ini dilaporkan, syarikat besar terbabit mencatat perolehan antara beratus juta dan berbilion ringgit.

Sabin berkata, LHDN merancang untuk menyiasat dan mengaudit lebih banyak syarikat pada masa depan dalam usaha mendapatkan semula hasil yang hilang.

Beliau berkata, LHDN menyasar untuk mengumpul hasil sebanyak RM127 bilion pada 2017, termasuk kehilangan hasil dan penalti RM2.2 bilion, serta tunggakan cukai berjumlah RM36.26 juta dari bukan syarikat yang menerima notis sekatan perjalanan dan tunggakan cukai di Kuala Lumpur. - BERNAMA