KUALA LUMPUR, 2 Dis
(Bernama) - Kerajaan Persekutuan telah mengutip hasil berjumlah RM207.913 bilion pada
2012 iaitu peningkatan sebanyak RM22.494 bilion (12.1 peratus) berbanding
RM185.419 bilion pada 2011.
Hasil cukai, hasil bukan
cukai dan terimaan bukan hasil menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2011,
demikian menurut kenyataan oleh Ketua Audit Negara mengenai Laporan Ketua Audit
Negara 2012 siri 3 yang akan dibentangkan di Parlimen hari ini.
Laporan tersebut ialah
mengenai Penyata Kewangan Dan Pengurusan Kewangan Tahun 2012 Serta Aktiviti
Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri
Siri 3.
Mengikut laporan itu,
peningkatan hasil sebahagian besarnya disumbangkan oleh cukai pendapatan
petroleum, cukai pendapatan syarikat, cukai pendapatan individu, faedah dan
perolehan daripada pelaburan, lesen, bayaran pendaftaran dan permit, duti setem
dan cukai perkhidmatan.
Kenaikan harga petroleum
mentah dunia, perkembangan ekonomi domestik yang kukuh, bayaran dividen lebih tinggi
oleh Khazanah Nasional Berhad serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan
secara berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Jabatan
Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menyumbang kepada peningkatan hasil.
LHDNM telah berjaya mengutip
hasil berjumlah RM124.892 bilion pada tahun 2012 berbanding RM109.608 bilion
pada tahun 2011 iaitu peningkatan sebanyak RM15.284 bilion (13.9 peratus).
Manakala JKDM pula telah
berjaya mengutip sejumlah RM32.319 bilion pada tahun 2012 berbanding RM30.379
bilion pada tahun 2011 iaitu peningkatan sebanyak RM1.940 bilion (6.4 peratus).
Sumber : BERNAMA