KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah
menerima 3.1 juta borang nyata cukai pendapatan e-Filing setakat bulan Mei
tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar
berkata, LHDN menjangkakan peningkatan kepada empat juta orang ramai memasuki
e-Filing sehingga akhir tahun ini. Angka itu merupakan pertambahan lebih daripada 15 peratus
berbanding tempoh sama tahun lepas, katanya dalam sidang media Kempen Cinta
Malaysia di sini, Selasa.
"Peningkatan adalah antara 15 ke 20 peratus dan trend
peningkatan berlaku pada setiap tahun menunjukkan bahawa pembayar-pembayar
cukai terutamanya golongan generasi Y yang celik komputer memilih penggunaan
'e-services' iaitu e-filing sebagai pilihan utama. "Jumlah borang yang dihantar setakat ini adalah 3.1
juta. Untuk setengah tahun ini kita telah dapat sebahagian besar daripada
borang itu dan kita akan terima hingga hujung tahun ini mengikut kategori
pembayar cukai," katanya.
Mohd Shukor juga ditanya kenyataan Timbalan Menteri
Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam yang menyebut beliau akan
berbincang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memohon pengecualian
cukai bagi pembelian alat bantuan pernafasan untuk menggalakkan lebih ramai tampil
menyalurkan bantuan. "Ada beberapa individu tampil untuk membekalkan alat
bantuan pernafasan mudah ini tetapi dengan syarat ada pengecualian cukai bagi
alat tersebut. Saya akan berbincang dengan LHDN sama ada boleh atau tidak
diberi pengecualian cukai," kata Dr Hilmi.
Mohd Shukor berkata pihaknya tidak mempunyai masalah tentang
perkara itu kerana LHDN memang ada menyediakan peruntukan di dalam akta cukai
pendapatan kepada mereka yang ingin membantu pihak hospital. Beliau berkata, penolakan cukai pendapatan ini boleh
diperolehi sekiranya pihak yang ingin menderma mematuhi syarat-syarat yang
ditetapkan.
Sebelum itu, Mohd Shukor telah merasmikan gimik pelancaran
Kempen Cinta Malaysia di Plaza Tol PLUS Sg Besi, yang turut dihadiri ikon
kempen, Datuk Aznil Nawawi dan beberapa artis tanah air. Kempen kesedaran itu disasarkan kepada semua golongan dan
kategori termasuk kanak-kanak bermula dari peringkat prasekolah dan belia,
bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan mengenai percukaian serta
kepentingannya kepada negara serta tanggungjawab orang ramai.
Mohd Shukor bersama-sama beberapa artis tanah air juga turut
menyampaikan sumbangan raya kepada pengguna jalan raya di plaza tol itu yang
menuju ke arah selatan, sempena Aidilfitri.