KUALA LUMPUR: Pelaksanaan audit
dan siasatan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas 20 syarikat
besar membabitkan kehilangan hasil RM1.4 bilion disebabkan pengelakan cukai dan
penalti, dijangka dimuktamadkan bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk
Sabin Samitah, berkata syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat senarai awam
itu akan menerima notis cukai tertunggak yang perlu dibayar dalam tempoh
setahun dari tarikh yang dikeluarkan.
"Jika mereka tidak bayar,
kami akan membawa kes itu ke mahkamah dan (hanya selepas itu) kami boleh
mendedahkan nama mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 'Ops
Gegar Bersepadu' di sini, hari ini.
Beliau berkata, 20 syarikat
terbabit adalah sektor telekomunikasi, perladangan, hartanah dan institusi
kewangan.
LHDN ketika ini menjalankan
pengauditan dan siasatan cukai ke atas 30 syarikat besar membabitkan kehilangan
hasil keseluruhan kira-kira RM2.2 bilion disebabkan pengelakan cukai dan
penalti.
Daripada jumlah syarikat itu,
Sabin berkata, 10 syarikat telah menerima notis tunggakan cukai dan membayar
RM800 juta keseluruhannya bagi pengelakan cukai dan penalti.
Sebelum ini dilaporkan, syarikat
besar terbabit mencatat perolehan antara beratus juta dan berbilion ringgit.
Sabin berkata, LHDN merancang
untuk menyiasat dan mengaudit lebih banyak syarikat pada masa depan dalam usaha
mendapatkan semula hasil yang hilang.
Beliau berkata, LHDN menyasar
untuk mengumpul hasil sebanyak RM127 bilion pada 2017, termasuk kehilangan
hasil dan penalti RM2.2 bilion, serta tunggakan cukai berjumlah RM36.26 juta
dari bukan syarikat yang menerima notis sekatan perjalanan dan tunggakan cukai di
Kuala Lumpur. - BERNAMA