KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST) tidak akan memberi impak kepada jumlah hasil pungutan cukai sebanyak
RM142.6 bilion oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun ini kerana sasaran
itu telah mengambil kira faktor tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar
berkata, penurunan kadar cukai individu dan syarikat yang diumumkan semasa
pembentangan Bajet 2015, tidak akan memberi kesan kepada jumlah kutipan cukai
secara keseluruhan.
Beliau berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, trend
kutipan cukai sentiasa meningkat dari semasa ke semasa berikutan usaha-usaha
yang diambil oleh LHDN serta peningkatan dalam kesedaran dalam kalangan
pembayar cukai.
"Penurunan kadar cukai (susulan daripada pelaksanaan
GST) tidak akan memberi kesan kepada jumlah kutipan tahun ini dengan harapan
pembayar cukai akan sentiasa sedar akan tanggungjawabnya.
"Ini penting kerana pembayaran cukai tersebut adalah
untuk pembangunan negara, serta kesejahteraan kita dan generasi akan
datang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptamanya pada
Forum Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia-Institut Percukaian Malaysia
2015, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi yang
menyatakan kutipan LHDN bakal terjejas kerana sebahagian hasil tersebut telah
beralih kepada hasil yang dipungut menerusi GST. Pada tahun lepas, LHDN telah mengutip cukai berjumlah
RM133.7 bilion, meningkat sebanyak 3.59 peratus daripada jumlah kutipan pada
2013.
Mohd Shukor berkata kutipan cukai bagi tahun ini dijangka
agak mencabar susulan daripada ketidaktentuan harga minyak dunia.
Bagaimanapun, selagi tiada penurunan kadar pertumbuhan
ekonomi yang mendesak di peringkat antarabangsa, beliau yakin tiada masalah
bagi LHDN dalam melaksanakan kutipan cukai yang memberangsangkan tahun ini.
Bagi e-filing, beliau mensasarkan jumlah kutipan borang
cukai menerusi kaedah ini meningkat kepada empat juta berbanding 3.8 juta yang
diterima pada tahun lepas, melebihi sasaran awal sebanyak hanya tiga juta.
Beliau menyeru pembayar cukai agar memilih e-filing sebagai
pilihan utama kerana kaedah tersebut dapat mengira cukai dengan lebih tepat,
proses percukaian lebih cepat dan pembayaran semula cukai juga dapat dilakukan
dengan lebih pantas.
Tambahnya, LHDN telah memberi kelonggaran kepada pembayar
cukai yang memilih kaedah e-filing dengan tarikh akhir penerimaan borang pada
15 Mei berbanding borang manual pada 30 April. - BERNAMA