Sunday, April 13, 2014

GST ikut semangat Islam






Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan hari ini menyeru umat Islam secara bijaksana mencari maklumat sebenar berhubung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan kerajaan tahun depan.

Menurut teks khutbah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, pelaksanaannya berdasar semangat Islam bawah konsep “al-adl wal ihsan”.

”Mimbar amat yakin bahawa pelaksanaan ini berdasarkan semangat Islam yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan – iaitu menghayati semangat berlapang dada dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan.”

Khutbah juga berkata, amalan prinsip itu akan membuatkan kita sentiasa mengingati balasan Allah atas kesalahan seperti monopoli kekayaan, penyelewengan serta perkara yang menzalimi dan merugikan.

Ia juga mempertahankan cukai kontroversi yang ditentang hebat pembangkang itu sebagai progresif dan rakyat didakwa akan menikmati harga lebih kompetitif untuk pelbagai jenis barangan.

Khutbah berjudul “Memperkasa Ekonomi Ummah” itu yang kedua dalam masa terdekat dalam siri kupasan isu-isu ekonomi selepas menganjurkan tanggungjawab bersama memakmurkan ekonomi negara.

Minggu lalu, khutbah JAKIM mengingatkan bahawa sebarang langkah memperkenal dasar percukaian baru mesti dibuat berdasarkan kajian teliti supaya tidak membebankan.

Percayalah bahawa pelaksanaan cukai GST adalah untuk memperteguh ekonomi dan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” kata mimbar.

“Perlaksanaan ini tidak akan membebankan rakyat kerana ia merupakan satu kaedah penyusunan sistem percukaian negara supaya ianya lebih berkesan, saksama, efisien dan telus serta dapat mengelak berlakunya cukai yang terselindung dan bertindih,” teks khutbah itu dipetik.


Friday, April 4, 2014

Khutbah gesa kajian teliti sebelum cukai baru


Khutbah Jumaat kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengingatkan bahawa sebarang langkah memperkenal dasar percukaian baru mesti dibuat berdasarkan kajian teliti supaya tidak membebankan.

Mimbar berhujah, berdasarkan pandangan Imam Abu Yusuf, ulama dalam bidang percukaian Islam, sesebuah negara boleh menaik atau menurunkan kadar cukai mengikut kemampuan rakyat.

“Pandangan Imam Abu Yusuf ini amat tepat kerana untuk mewujudkan dasar percukaian baru perlu dibuat kajian teliti supaya tidak membebankan rakyat dan pengguna terutama golongan daif dan miskin,” teks khutbah itu dipetik.

Khutbah yang disediakan untuk masjid-masjid di Wilayah Persekutuan itu berjudul “Memakmurkan Ekonomi Tanggungjawab Bersama”.

Sementara itu, khutbah juga menegur budaya melengah-lengahkan membayar cukai dan berhutang melibatkan masyarakat Islam.

“Cuba bayangkan berapa banyak kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat budaya hidup sebegini, berapa banyak projek pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya,” menurut khutbah itu lagi.

Perbuatan tidak membayar cukai, tegasnya, adalah sama seperti lari daripada membayar hutang.

“Rakyat akan mengalami kesulitan dan negara akan mengalami kelembapan ekonomi disebabkan ada golongan yang cuai membayar hutang.

“Takutlah kepada Allah SWT kerana mereka yang berhutang tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT.

Kerajaan akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).