Wednesday, July 12, 2017

LHDN kutip RM56 bilion setakat Julai

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip cukai berjumlah lebih RM56 bilion sehingga awal Julai tahun ini, mengatasi kutipan sebanyak RM55 bilion yang dicatatkannya dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata pencapaian tersebut sekali gus memberi keyakinan LHDN mampu mencapai sasaran RM127.7 bilion kutipan cukai yang ditetapkan kerajaan tahun ini.
"Melalui rekod yang dicatatkan ini, sekali gus menidakkan kata-kata yang sebelum ini mengatakan hasil negara kita makin berkurangan dan ianya adalah tidak berasas," katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran LHDN, di Cyberjaya, hari ini.
Mohd Irwan berkata perkembangan ekonomi negara juga menunjukkan peningkatan dari segi pelaburan manakala aliran masuk dana luar ke dalam pasaran saham serta bon-bon kerajaan semakin mengukuh.
Malahan, katanya, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) juga meningkat dan kini berjumlah lebih US$98 bilion (US$1=RM4.3).
Beliau berkata Malaysia turut mendapat banyak pengiktirafan indeks dan penarafan yang baik yang meletakkan negara sebagai salah sebuah destinasi pelaburan terpenting atau pilihan utama.
"Malahan banyak lagi syarikat antarabangsa yang datang merisik untuk melabur di negara kita, jadi, kita harus membuat pilihan yang tepat terutamanya syarikat yang mampu membawa teknologi tinggi tanpa kebergantungan tenaga kerja yang banyak dari segi pekerja migran (pekerja asing)," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah berkata LHDN yakin dengan pemantapan program pencukaian yang dilaksanakannya jumlah sasaran kutipan cukai yang ditetapkan kerajaan mampu dicapai.
Selain itu, katanya, agensi tersebut kini sedang meningkatkan aktiviti pengauditan dan penyiasatan cukai kepada warga asing yang menjalankan perniagaan tetapi gagal melaporkan pendapatan kepada LHDN.
"Mereka ini kita dapati banyak menjalankan perniagaan terutama sekali di Lembah Klang terutamanya dalam perniagaan restoran, runcit serta pelancongan," katanya.
Mengenai Ops Kutip, Sabin berkata setakat ini LHDN telah berjaya mengutip 25 peratus daripada RM225 juta cukai tertunggak dan yakin mampu mencapai kutipan sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sumber: Bernama


Monday, June 12, 2017

Pembayar cukai syarikat wajib mengemukakan borang CP204 dan CP204A tahun taksiran 2018 secara e-Filing

Image result for lhdn image

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin memaklumkan bahawa mengikut peruntukan subseksyen 107C(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), setiap pembayar cukai syarikat adalah diwajibkan untuk mengemukakan Anggaran Cukai Yang Kena Dibayar (Borang CP204) dan Pindaan Anggaran (Borang CP204A) bagi Tahun Taksiran 2018 dan seterusnya secara e-Filing.

Justeru, pengemukaan Borang CP204 dan CP204A secara manual (borang kertas) jika dilakukan oleh syarikat adalah DIANGGAP TIDAK DITERIMA bagi maksud di bawah subseksyen 107C(1A) ACP 1967.

Sesebuah syarikat hendaklah mengemukakan Borang CP204 kepada LHDNM tidak kurang daripada 30 hari sebelum bermulanya tempoh asas bagi sesuatu tahun taksiran.

Kegagalan syarikat untuk mematuhi peruntukan undang-undang tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah subseksyen 120(1)(f) ACP 1967 dan boleh dikenakan suatu denda tidak kurang RM200.00 dan tidak lebih RM20,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.



Sunday, April 16, 2017

LHDN muktamad siasatan 20 syarikat elak cukai

                

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan audit dan siasatan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas 20 syarikat besar membabitkan kehilangan hasil RM1.4 bilion disebabkan pengelakan cukai dan penalti, dijangka dimuktamadkan bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sabin Samitah, berkata syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat senarai awam itu akan menerima notis cukai tertunggak yang perlu dibayar dalam tempoh setahun dari tarikh yang dikeluarkan.

"Jika mereka tidak bayar, kami akan membawa kes itu ke mahkamah dan (hanya selepas itu) kami boleh mendedahkan nama mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 'Ops Gegar Bersepadu' di sini, hari ini.
Beliau berkata, 20 syarikat terbabit adalah sektor telekomunikasi, perladangan, hartanah dan institusi kewangan.

LHDN ketika ini menjalankan pengauditan dan siasatan cukai ke atas 30 syarikat besar membabitkan kehilangan hasil keseluruhan kira-kira RM2.2 bilion disebabkan pengelakan cukai dan penalti.
Daripada jumlah syarikat itu, Sabin berkata, 10 syarikat telah menerima notis tunggakan cukai dan membayar RM800 juta keseluruhannya bagi pengelakan cukai dan penalti.
Sebelum ini dilaporkan, syarikat besar terbabit mencatat perolehan antara beratus juta dan berbilion ringgit.

Sabin berkata, LHDN merancang untuk menyiasat dan mengaudit lebih banyak syarikat pada masa depan dalam usaha mendapatkan semula hasil yang hilang.

Beliau berkata, LHDN menyasar untuk mengumpul hasil sebanyak RM127 bilion pada 2017, termasuk kehilangan hasil dan penalti RM2.2 bilion, serta tunggakan cukai berjumlah RM36.26 juta dari bukan syarikat yang menerima notis sekatan perjalanan dan tunggakan cukai di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Friday, March 17, 2017

OPERASI HASIL PERINGKAT PEJABAT PENGARAH NEGERI SEMBILAN/MELAKA BIL. 1/2017, LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA









Melaka, 16 Mac  -Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melancarkan program Operasi Hasil Peringkat Pejabat Pengarah Negeri Sembilan/Melaka kali pertama untuk tahun ini dengan aktiviti yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan kadar pematuhan dan pembesaran asas cukai.


Melalui program yang dijadualkan selama tiga hari inibermula semalam dan akan berakhir pada 17 Mac 2017, LHDNM akan menjalankan aktiviti penyerahan notis tunggakan, serahan saman, banci perniagaan, lawatan audit majikan, lawatan audit perniagaan dan operasi siasatan. Aktiviti menyeluruh ini adalah bagi memastikan impak yang berterusan ke atas pematuhan cukai dirasai oleh masyarakat umum dan pembayar cukai khususnya.


Operasi yang diketuai sendiri oleh Datuk Hassim Bin Shafiai, Pengarah Negeri LHDNM, Negeri Sembilan/Melaka turut disertai oleh Pengarah Cawangan Melaka, Pengarah Cawangan Seremban, Pengarah Cawangan Siasatan Melaka, Pengarah Cawangan Siasatan Seremban dan Pengarah Bahagian Penyelarasan PPN N.Sembilan/Melaka. Seramai 149 orang pegawai LHDNM dari Cawangan Melaka dan Cawangan Seremban diberikan tanggungjawab untuk menjayakan Operasi Hasil ini. Pegawai petugas turut bertanggungjawab memberikan penerangan yang jelas mengenai tanggungjawab membayar cukai pendapatan kepada masyarakat.


Antara matlamat utama operasi ini adalah bagi memastikan setiap individu yang layak dikenakan cukai membayar cukai yang sepatutnya demi memastikan kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai semua inisiatif program pembangunan.


Sebanyak 220 premis perniagaan akan dilawati di sekitar kawasan Bandar Melaka untuk tujuan banci perniagaan dan pembesaran asas cukai pada kali ini. LHDNM turut akan menjalankan aktiviti penyerahan notis tunggakan hasil dan saman berjumlah RM5.16 juta kepada 355 pemilik syarikat dan pembayar cukai individu. Manakala  sebanyak 91 aktiviti perniagaan akan dilawati bagi aktiviti pengauditan syarikat, majikan dan milikan tunggal. Aktiviti pengauditan ini dijalankan bagi memastikan setiap pendapatan yang dilaporkan oleh perniagaan adalah betul dan tepat.


Sebagai sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan dalam mentadbir cukai langsung negara, adalah amat penting bagi LHDNM memastikan tahap kesedaran cukai dalam kalangan masyarakat sentiasa dipertingkatkan. Ini kerana, ia memberikan kesan secara langsung terhadap kadar pematuhan cukai secara sukarela di negara ini, sekaligus akan dapat mengurangkan tunggakan hasil dan menjamin hasil yang mapan untuk pembangunan negara yang berterusan.

Sumber: Kenyataan Media LHDN