Thursday, February 25, 2016

Profesional elak bayar cukai diburu

Doktor, peguam, artis dikenal pasti dalam radar LHDN

Mohd.  SHUKOR  MAHFAR  (dua dari kiri) bersalaman dengan  A. Ramadass

KUALA LUMPUR 16 Feb ( Utusan)- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memburu pembayar cukai dalam kalangan golongan profesional, termasuklah doktor, peguam, mahu pun artis pada tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Mohd. Shukor Mahfar berkata, penekanan itu diberi memandangkan kumpulan terbabit telah dikenal pasti sebagai pengelak cukai oleh LHDN.

Katanya, golongan profesional selain daripada yang dinyatakan itu turut berada di dalam radar agensi tersebut. “Kenapa menjadi sasaran? Kerana mereka dikenali, artis, profesional, orang ramai sangat mengenali mereka. Jadi, kami mahu memastikan golongan profesional ini mesti berkelakuan sebagai pembayar cukai yang baik. “Mana-mana kumpulan profesional, anda namakan sahaja, berada dalam radar kami. Ini merupakan pendekatan biasa yang diambil oleh agensi cukai di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar anjuran LHDN bersama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) 2016 bertajuk Setahun Bagi Cukai Akhir: Isu dan Cabaran, di sini hari ini. Yang turut hadir, Naib Presiden MEF, A. Ramadass dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan. Dalam pada itu, Mohd. Shukor memberitahu, LHDN berharap dapat memungut lebih daripada RM1 bilion hasil cukai pada tahun ini berikutan pengurangan penalti terhadap pembayar cukai sebagaimana yang diumumkan dalam pengubahsuaian Bajet 2016.

Katanya, pada tahun lalu, agensi itu berjaya memungut hampir RM1 bilion pada tahun lalu. “Tahun lalu, kami memberi pengurangan yang serupa, tetapi dalam skala yang kecil. Bagi tahun ini pula, kami melihat kepada semua pembayar cukai.
“Jadi, untuk usaha yang akan dilakukan pada tahun ini, kami berharap dapat lebih (berbanding tahun lalu) kerana kami menerapkan kepada semua,” jelas beliau.

- UTUSAN


Ikon Cinta Malaysia


aznil NAWAWI dilantik sebagai ikon Lembaga Hasil Dalam Negeri


KUALA LUMPUR - Dilantik sebagai ikon Cinta Malaysia Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi menyifatkan ia satu penghargaan oleh kerajaan kepada golongan artis atau selebriti. Ditemui ketika sambutan Hari Hasil ke-19 di Menara Hasil Cyberjaya baru-baru ini, personaliti itu memberitahu, pemilihan individu sepertinya dalam menyampaikan hasrat kerajaan adalah satu alternatif baharu agar ia diterima baik masyarakat setempat.

“Saya lihat ia satu kaedah baik yang perlu diperluaskan oleh mana-mana agensi kerajaan atau badan korporat yang mendukung dasar negara untuk menyebarkan maklumat secara lebih menyeluruh kepada penduduk negara ini, secara tidak langsung mesej tersebut diterima dengan lebih efektif. “Kadang-kadang, kempen anjuran kerajaan dipandang enteng oleh sesetengah pihak dan tidak mengambil serius tentang apa yang telah disampaikan, lantas intipati yang terdapat di dalamnya gagal disalurkan dengan berkesan.

“Justeru, menggunakan medium hiburan menerusi golongan seperti saya, ia satu langkah bijak yang wajar diberi pujian. Masyarakat dilihat lebih mudah menerima sesuatu yang disampaikan secara santai dan libur,” katanya kepada Hits.Mengulas peranannya sebagai ikon, Aznil memberitahu dia mahu mengetengahkan konsep perkongsian dan kasih sayang dalam memberikan pemahaman kepentingan cukai dalam pembangunan negara.“Saya mahu semarakkan rasa cinta terhadap negara dan pada masa sama menyedarkan masyarakat betapa pentingnya pembayaran cukai demi kelestarian ekonomi negara,” jelasnya.

Tambahnya, pelbagai program dirangka bagi menjayakan kempen tersebut termasuklah menjelajah ke beberapa lokasi seperti sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi mendedahkan situasi sebenar kepada golongan muda atau generasi baharu.Menurut pengacara yang baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat itu, siri jelajah yang dirancangnya bersifat ringkas dan mudah difahami dalam suasana penyampaian berbentuk hiburan.“Kontrak ini selama setahun. Dalam tempoh tersebut, saya akan giat ke seluruh negara mendekati golongan muda untuk menerapkan rasa cinta mereka terhadap negara. Secara tidak langsung, maklumat mengenai sistem cukai juga akan disampaikan.

“Selain itu, golongan artis dan selebriti juga menjadi sasaran untuk penghebahan ini agar tidak alpa melunaskan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Pengutipan cukai ini adalah kebaikan bersama pada masa akan datang, jadi 
apa salahnya tunaikan kewajipan tersebut demi anak cucu mereka juga,” jelasnya. Kata Aznil, dia mahu menjadi ‘jambatan’ antara golongan selebriti dan LHDN dalam memastikan mereka mendapat maklumat yang betul selain khidmat nasihat berhubung pembayaran cukai.

-UTUSAN

Pengalaman Rozita tidak bayar cukai


Rozi ta Che Wan


KUALA LUMPUR 17 Feb (Utusan) – Pengalaman tidak dibenarkan masuk ke negara jiran, Singapura ekoran tidak membayar cukai pendapatan menjadikan pelakon popular, Rozita Che Wan benar-benar serik.Kejadian yang berlaku pada 2014 itu dianggap sebagai pengajaran yang cukup bermakna dalam kehidupan wanita berusia 43 tahun itu.Katanya, beliau sudah berada di kaunter imigresen untuk bercuti di Singapura melalui Woodlands namun terkandas.“Sampai di kaunter imigresen, saya kena tahan. Mereka kata nama saya disenaraihitamkan, saya tidak dibenarkan ke luar negara kerana tidak menjelaskan cukai pendapatan. Memang itu satu kesilapan saya sendiri,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Rozita berkongsi pengalaman pahit, disekat daripada keluar negara kepada Utusan Malaysia, gara-gara dia tidak melunaskan tanggungjawab sebagai pembayar cukai kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).Serik dengan kejadian malang itu, menurut Rozita, dia kemudian telah melantik seorang peguam untuk menguruskan segala pembayaran cukai pendapatan peribadi, juga membabitkan perniagaan yang diceburinya.“Sekarang, selepas urusan pembayaran cukai diuruskan dengan baik dan teratur setiap tahun, saya jadi cukup lega. Memanglah lega, kalau tidak saya akan ‘keras’ dalam negara sahaja, tidak boleh berjalan ke mana-mana lagi,” katanya.

Justeru, Rozita turut menasihati mereka yang tidak membayar cukai untuk melunaskan tanggungjawab masing-masing sebelum dikenakan tindakan, seperti yang berlaku terhadap dirinya sebelum ini. Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Mohd. Shukor Mahfar semalam mendedahkan, para artis, doktor dan peguam antara yang menjadi buruan agensi berkenaan tahun ini setelah dikenal pasti sebagai kumpulan pengelak cukai sebelum ini.Sementara itu, pengalaman artis senior yang terpaksa membayar cukai tertangguh dalam jumlah besar dan disekat ke luar negara membuat golongan artis muda seperti Awal Ashaari, akur untuk membayar cukai.

Berkongsi pengalamannya, peng­­acara itu mengakui pada awal pembabitannya sebagai artis, dia tidak begitu peduli mengenai sistem pembayaran cukai, kerana kurang diberi pendedahan mengenai proses itu.“Isteri saya, Scha Al Yahya yang menggesa untuk kami pergi semak cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Artis kebanyakannya tidak didedahkan dengan kaedah pembayaran cukai. Itu pun kami mula sedar selepas artis senior yang bercerita pengalaman mereka terpaksa membayar cukai tertunggak tanpa disedari,” jelasnya.

Sementara itu, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza turut berpendapat, perlunya komunikasi dua hala yang baik antara artis dengan agensi pengutip cukai, LHDN.“Saya tidak pernah lari daripada melunaskan tanggungjawab sebagai membayar cukai baik perseorangan mahupun sebagai ahli perniagaan. Apa yang penting, rakyat sama ada artis atau perlu memahami tanggungjawab masing-masing. Jika ada masalah sekalipun, perlu terus berhubung dengan LHDN untuk penjelasan,” katanya.


- UTUSAN