LHDN kutip RM56 bilion
setakat Julai
Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip cukai berjumlah lebih RM56 bilion
sehingga awal Julai tahun ini, mengatasi kutipan sebanyak RM55 bilion yang
dicatatkannya dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Setiausaha
Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata pencapaian
tersebut sekali gus memberi keyakinan LHDN mampu mencapai sasaran RM127.7
bilion kutipan cukai yang ditetapkan kerajaan tahun ini.
"Melalui
rekod yang dicatatkan ini, sekali gus menidakkan kata-kata yang sebelum ini
mengatakan hasil negara kita makin berkurangan dan ianya adalah tidak
berasas," katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka
anjuran LHDN, di Cyberjaya, hari ini.
Mohd Irwan
berkata perkembangan ekonomi negara juga menunjukkan peningkatan dari segi
pelaburan manakala aliran masuk dana luar ke dalam pasaran saham serta bon-bon
kerajaan semakin mengukuh.
Malahan,
katanya, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) juga meningkat dan kini
berjumlah lebih US$98 bilion (US$1=RM4.3).
Beliau berkata
Malaysia turut mendapat banyak pengiktirafan indeks dan penarafan yang baik
yang meletakkan negara sebagai salah sebuah destinasi pelaburan terpenting atau
pilihan utama.
"Malahan
banyak lagi syarikat antarabangsa yang datang merisik untuk melabur di negara
kita, jadi, kita harus membuat pilihan yang tepat terutamanya syarikat yang
mampu membawa teknologi tinggi tanpa kebergantungan tenaga kerja yang banyak
dari segi pekerja migran (pekerja asing)," katanya.
Sementara itu,
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah berkata LHDN yakin dengan
pemantapan program pencukaian yang dilaksanakannya jumlah sasaran kutipan cukai
yang ditetapkan kerajaan mampu dicapai.
Selain itu,
katanya, agensi tersebut kini sedang meningkatkan aktiviti pengauditan dan
penyiasatan cukai kepada warga asing yang menjalankan perniagaan tetapi gagal
melaporkan pendapatan kepada LHDN.
"Mereka
ini kita dapati banyak menjalankan perniagaan terutama sekali di Lembah Klang
terutamanya dalam perniagaan restoran, runcit serta pelancongan," katanya.
Mengenai Ops
Kutip, Sabin berkata setakat ini LHDN telah berjaya mengutip 25 peratus
daripada RM225 juta cukai tertunggak dan yakin mampu mencapai kutipan
sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang akhir tahun ini.
Sumber: Bernama