Thursday, October 28, 2010

Artikel : Pegawai LHDN Di Penjara


KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai eksekutif (Penaksiran) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari cawangan Kuala Lumpur Bandar dipenjara dua tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah, lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin, berkata sekiranya tertuduh, Miftahhudin Abdullah, 40, gagal membayar denda itu, dia akan dikenakan penjara 12 bulan dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Rosbiahanin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan. Miftahhudin didakwa bersetuju untuk terima wang suapan RM6,000 daripada Maimunah Suhor sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan bertarikh 4 Mac 2005 di Mentari Channel Food Court, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini pada 5.05 petang, 4 Mac 2005.

Dia yang kini digantung tugas, didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pada 21 September lalu, mahkamah melepas dan membebaskan Miftahhudin daripada satu tuduhan meminta suapan RM6,000 bagi dirinya daripada Maimunah melalui Ainon Samat sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan kepada Maimunah di LHDN Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Jalan Kampung Attap di sini pada 11.26 pagi, 1 Mac 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 10(a)(bb) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Tertuduh diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadzillah Mohd Ossman. - BERNAMA


BERITA HARIAN
28/10/10

Friday, July 16, 2010

SIARAN AKHBAR : PENALTI LEWAT HANTAR BORANG

Pembayar cukai lewat hantar borang dikenakan penalti: LHDNM

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berkata, pembayar cukai yang
menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan selepas tarikh akhir akan menerima Notis Taksiran berserta penalti kerana lewat menghantar borang.

LHDNM dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, tarikh akhir yang ditetapkan ialah 30 April, 2010 bagi Borang BE dan 30 Jun, 2010 bagi Borang B. Katanya, Notis Taksiran itu akan dihantar melalui pos.

Pembayar cukai yang menerima notis ini dinasihati menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan LHDNM di talian 1-300-88-3010 atau berhubung terus dengan cawangan LHDNM sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan. - Bernama


Berita Harian
16 July 2010

Friday, April 10, 2009

Cukai: 3,974 individu disenarai hitam

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 April – Sebanyak 3,974 individu yang disenarai hitam dan dikenakan sekatan perjalanan kerana gagal melunaskan cukai pendapatan perlu merujuk kepada Jabatan Imigresen sebelum merancang ke luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Hasmah Abdullah berkata, jumlah itu merupakan kes yang didaftarkan pada 2008 untuk sekatan perjalanan kerana melanggar Akta Cukai Pendapatan 1967.

Menurut beliau, sekatan perjalanan itu dikuatkuasakan setelah pembayar cukai mengikut Sistem Taksir Sendiri (STS) gagal membayar cukai yang ditetapkan selepas April dan diikuti amaran denda sehingga 1 Julai tahun berkenaan.

Hasmah menasihati mereka yang disenaraihitamkan itu melayari laman web www.imi.gov.my untuk mendapatkan kepastian.

Bagaimanapun, katanya, butiran lanjut mengenainya perlu dirujuk kepada imigresen kerana ia bukan saja melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) malah agensi kerajaan lain yang turut mengenakan sekatan yang sama.

P/s: Boleh rujuk Status DISINI

melainkan"

Sunday, January 25, 2009

CUKAI : TIPS - MENGURANGKAN CUKAI SYARIKAT DENGAN CARA PENGAMBILALIHAN SYARIKAT LAIN (TAKE-OVER)

Pihak Syarikat boleh mengurangkan cukai Syarikat dengan cara mengambilalih syarikat yang mengalami kerugian terkumpul (Accumulated Loss). Semakin tinggi kerugian yang ditanggung oleh Syarikat tersebut semakin tinggi nilai yang boleh digunakan untuk mengelakkan dan mengurangkan cukai dengan cara yang dibenarkan. Panduan untuk menggunakan kaedah ini :

a. Pastikan status cukai Syarikat yang perlu diambil alih dengan nyata.
b. Status perniagaan dan Syarikat perlu diambil kira seperti kedudukan kewangan, liabiliti, pekara-pekara berbangkit dan sebagainya.

Pada pratikalnya, sebelum sesebuah Syarikat hendak diambilalih oleh Pelabur baru, mereka perlulah mengetahui keseluruhan status Syarikat tersebut. Amalan ini perlulah dititik-beratkan dan hampir pasti wajib dilakukan. Pada kebiasaanya pihak Pelabur baru akan meminta agar dibuat proses yang dinamakan "Due Diligence" ataupun "Share Valuation" dimana proses ini akan membuat satu tugasan khas di dalam melaporkan keseluruhan status sesebuah Syarikat. Bagi proses "Share Valuation" pula pihak Pelabur akan mengetahui akan nilai per saham semasa. Adaka ianya berbaloi atau tidak untuk mengambil alih sesebuah Syarikat.

Untuk makluman, Kementerian Kewangan M'sia (MOF) telah meminda polisi terhadap pekara cukai Kerugian Cukai (Brought Forward Losses) dan Elaun Modal Tak Diserap (Unabsorbed Capital Aloowance). Selepas 7 November 2007 :

" Syarikat yg terlibat dalam perubahan pemilikan yang ketara akan dibenarkan untuk membawa ketahun hadapan terhadap pekara kerugian dan elaun modal yg belum digunakan bagi membolehkan ianya diserapkan tahun taksiran semasa atau tahun akan datang melainkan Syarikat yang Tak Aktif (Dormant)."