Thursday, May 16, 2013

Elaun Modal Sarawak Borneo

Syarikat minyak sawit menang kes tuntutan elaun pelaburan semula LHDN 


KUCHING: Keputusan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) semalam berpihak kepada syarikat minyak sawit tempatan dalam kes rayuan melibatkan tuntutan modal perbelanjaan elaun pelaburan semula berjumlah besar yang dialami ketika membuka tanah bagi penanaman kelapa sawit.

Keputusan itu akan memberi manfaat kepada semua syarikat penanaman kelapa sawit di seluruh negara.

Syarikat minyak sawit mahu menuntut elaun pelaburan semula tetapi tidak dibenarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana buah kelapa sawit bukan jenis buah-buahan seperti yang dimaksudkan untuk tujuan penanaman buah-buahan seperti yang dinyatakan di bawah perenggan 9 (cc) Jadual 7A Akta Cukai Pendapatan 1967.

LHDN menegaskan bahawa perkataan ‘buah-buahan’ dalam frasa ‘penanaman buah-buahan’ di bawah perenggan 9 (cc) bermaksud buahbuahan Malaysia yang manis dan boleh dimakan dan tidak termasuk buah kelapa sawit, sekali gus tidak membenarkan tuntutan itu.

Syarikat itu yang terkilan dengan taksiran yang dibuat oleh LHDN setelah tidak membenarkan tuntutan melalui ejen cukai, memfailkan Notis Rayuan untuk merayu terhadap taksiran yang dibuat kepada SCIT.

SCIT setelah mendengar dan membaca pendirian panjang dan penghujahan daripada kedua-dua pihak sebulat suara memutuskan bahawa frasa ‘penanaman buah-buahan’ di bawah perenggan (9cc) Jadual 7A Akta termasuk kelapa sawit buah-buahan dan membenarkan rayuan itu dengan sewajarnya.
Syarikat itu diwakili oleh Dr Chew Peng Hui Battenberg dan Talma dan dibantu oleh Lam Kam Wing, seorang perunding cukai Tasmanco Consultancy Services Sdn Bhd manakala LHDN telah diwakili oleh dua pegawai undangundang dari ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

KOMEN RAC : Untuk penjelasan dgn lebih lanjut mengenai elaun pelaburan semula rujuk  http://www.hasil.org.my/pdf/pdfam/KU_6_2012.pdf

Sumber:BorneoPost

Wednesday, December 12, 2012

Tahap Kesedaran Pembayar Cukai Masih Kurang Memuaskan - LHDN


Tahap Kesedaran Pembayar Cukai Masih Kurang Memuaskan Disebabkan  Kurang Kemahiran



KOTA BHARU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati tahap kesedaran orang ramai terhadap tanggungjawab membayar cukai kepada lembaga itu masih kurang memuaskan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pematuhan) LHDN, Datuk Dr Siti Mariam Che Ayub berkata, ini disebabkan ramai di antara mereka, terutama di kawasan luar bandar tidak mempunyai kemahiran dalam penyimpanan akaun bagi membolehkan membuat pembayaran mengikut peraturan sebagaimana ditetapkan di bawah akta lembaga itu.

Katanya, LHDN akan terus meningkatkan gerakan kesedaran di kalangan orang ramai, terutama individu dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.

"Di antara gerakan itu ialah mengadakan Ops Mesra Hasil di seluruh negara dengan menumpukan di kawasan sasaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ops Mesra Hasil peringkat Nasional Siri 2/2012, di sini Rabu.

Dr Siti Mariam berkata, sempena operasi selama tiga hari di Kelantan mulai Rabu, pihaknya mensasarkan serahan notis tuntutan hasil sebanyak 354 kes melibatkan jumlah tunggakan RM15.90 juta, merangkumi 295 kes individu dan 59 syarikat.

Katanya, operasi yang diadakan setiap tahun itu untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pematuhan secara sukarela di kalangan pembayar cukai dan mengurangkan jumlah tunggakan hasil.

Selain itu, ia juga bagi membantu meningkatkan kutipan cukai dan membesarkanasas cukai serta menambah bilangan pembayar cukai baru.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dijalankan semasa Ops Hasil selama tiga hari itu ialah menyerahkan notis tunggakan hasil dan saman, lawatan banci bisnesuntuk membuat bancian sama ada pemilik perniagaan sudah mendaftar sebagai pembayar cukai atau belum dan memberi pendidikan cukai melalui penyebaran risalah di premis perniagaan yang dilawati.

Katanya, pihaknya sedia membantu dengan memberi khidmat nasihat kepada pembayar cukai yang tidak memahami mengenai akaun bagi memudahkan mereka membuat pembayaran.

"Kebanyakan peniaga yang layak membayar sebagai pembayar cukai tidak membuat rekod penyimpanan perniagaan yang kemas menyebabkan mereka gagal membuatpembayaran mengikut peraturan," katanya

BERNAMA

Tuesday, December 11, 2012

LHDN Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Pengelak Cukai

LHDN Ambil Tindakan Undang-Undang Pada Tahun Hadapan Terhadap Pengelak Pembayar Cukai

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengenalpasti mereka yang cuba melarikan diri daripada membayar cukai sebagai tumpuan utamanya pada tahun hadapan.

Menggambarkan ia sebagai satu langkah untuk 'menghantar satu mesej' kepada pembayar cukai, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahtar berkata mereka akan melancarkan siasatan jenayah terhadap mereka yang cuba mengelak daripada membayar cukai.

"Kami sememangnya mempunyai peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang, terhadap perbuatan jenayah enggan membayar cukai cuma kami belum menguatkuasakannya sebelum ini," katanya pada sidang media di Seminar Cukai Kebangsaan di sini, pada Rabu.

Sebelum ini LHDN hanya mengambil tindakan sivil terhadap mereka yang enggan membayar cukai.
Perbuatan jenayah itu akan diambil berdasarkan peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Bukti 1950 dan Akta Siasatan Jenayah
Menurutnya, LHDN telah mula menguatkuasakan peruntukan jenayah namun mereka akan lebih bersungguh-sungguh untuk menangkap pembayar cukai yang ingkar bermula tahun depan.

"Beban pembuktiaan ialah di pihak kami untuk membuktikan individu atau syarikat terbabit mempunyai niat untuk mengelakkan diri daripada membayar cukai mereka.

"Sudah tentu kami akan melihat rekod prestasi individu atau syarikat terlibat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap mereka," katanya.

mSTARonline
03 Oktober 2012

Thursday, October 28, 2010

Artikel : Pegawai LHDN Di Penjara


KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai eksekutif (Penaksiran) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari cawangan Kuala Lumpur Bandar dipenjara dua tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah, lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin, berkata sekiranya tertuduh, Miftahhudin Abdullah, 40, gagal membayar denda itu, dia akan dikenakan penjara 12 bulan dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Rosbiahanin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan. Miftahhudin didakwa bersetuju untuk terima wang suapan RM6,000 daripada Maimunah Suhor sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan bertarikh 4 Mac 2005 di Mentari Channel Food Court, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini pada 5.05 petang, 4 Mac 2005.

Dia yang kini digantung tugas, didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pada 21 September lalu, mahkamah melepas dan membebaskan Miftahhudin daripada satu tuduhan meminta suapan RM6,000 bagi dirinya daripada Maimunah melalui Ainon Samat sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan kepada Maimunah di LHDN Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Jalan Kampung Attap di sini pada 11.26 pagi, 1 Mac 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 10(a)(bb) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Tertuduh diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadzillah Mohd Ossman. - BERNAMA


BERITA HARIAN
28/10/10